JPN terima 104,517 permohonan di bawah Mekar - Utusan Malaysia

JPN terima 104,517 permohonan di bawah Mekar

RUSLIN Jusoh (dua kanan) melihat Sehah Alang Shafie (dua kiri) membelek MyKad baharu yang diterima wanita berusia 98 tahun itu di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 104,517 permohonan berkaitan kad pengenalan, sijil kelahiran dan kematian di bawah Program Menyemai Kasih Rakyat atau Mekar iaitu program khas membantu golongan sasaran.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, program Mekar memberi tumpuan membantu individu di kawasan pedalaman dan mereka yang tidak berkeupayaan seperti sakit terlantar untuk hadir ke pejabat JPN.

“Sejak 2017, JPN telah melaksanakan 4,116 program Mekar di seluruh negara melibatkan permohonan dan penggantian kad pengenalan, sijil kelahiran serta kematian.

“Melalui program ini, JPN turun padang bertemu pelanggan yang memerlukan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Program Mekar dan penyerahan MyKad baharu kepada seorang wanita warga emas, Sehah Alang Shafie, 98, di Bukit Chandan di sini hari ini.

Menurut Ruslin, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan dan faktor usia menyebabkan Sehah tidak dapat hadir ke pejabat JPN Kuala Kangsar bagi permohonan gantian MyKad yang telah rosak.

Katanya, pasukan bergerak  JPN Perak telah mengambil inisiatif melalui program Mekar membantu memudahkan urusan gantian MyKad wanita itu.

“Perkhidmatan ini turut memberi manfaat dan impak positif kepada rakyat negeri ini.

“Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 47 program telah dijalankan dengan 43 permohonan serta 58 khidmat nasihat telah diterima JPN Perak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya