GEORGETOWN: Jenazah bekas atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli, 36, yang meninggal dunia awal pagi ini akibat radang paru-paru selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini kira-kira pukul 1.30 petang ini.
Menurut adiknya, Mohamad Zulfizri, 31, Allahyarham yang menetap di Pulau Pinang selepas tidak lagi aktif dalam bidang sukan menembak dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini kira-kira enam minggu lalu akibat jangkitan Covid-19.
Sejak itu katanya, situasi kesihatan Muslifah tidak menentu meskipun sudah disahkan sembuh daripada Covid-19 dan Allahyarham juga tidak lagi memberi maklum balas pada minggu kedua selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.
Lebih menyedihkan jelasnya, bayi di dalam kandungan Muslifah yang juga merupakan anak pertamanya selepas beberapa kali mengalami keguguran turut meninggal dunia pada usia kandungan enam bulan ketika Allahyarham menerima rawatan di pusat rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Bagaimanapun tambah Mohd. Zulfizri, kesihatan Allahyarham dilaporkan bertambah baik beberapa minggu lalu selepas paras oksigennya dilaporkan mulai stabil sebelum doktor mengesan jangkitan kuman di dalam paru-paru.
“Doktor mengesan paru-paru sebelah kiri arwah masih ada kuman dan melakukan pembedahan untuk membuang air, namun paras oksigen terus menurun.
“Sehinggalah pukul 12.30 malam tadi, pihak hospital menghubungi keluarga dan suaminya, Mohd. Syamim Saharuddin memaklumkan keadaannya semakin kritikal sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 2.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Jelutong, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Zulfizri mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti mendoakan kesihatan dan memberikan kata-kata semangat kepada Muslifah khususnya sepanjang arwah menerima rawatan di hospital.
Katanya, mereka sekeluarga juga berterima kasih kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang turut membantu mempermudahkan urusan pengkebumian Muslifah.
Muslifah antara penembak yang berada lama dalam program latihan kebangsaan dan tersenarai untuk Program Podium dari 2015 hingga 2017.
Allahyarham pernah meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dalam acara rifle 50 meter prone berpasukan Wanita (W) bersama dua lagi penembak negara ketika itu, Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim.
Allahyarham juga pernah mewakili negara pada Sukan Komanwel, Glasgow Scotland pada 2014 lalu dalam acara 50 meter (m) Rifle Prone Wanita (W) dan 50m Rifle (Tiga Posisi) pada temasya sukan berkenaan. – UTUSAN