PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menerima sumbangan sebuah lori khas hasil wakaf bernilai RM120,000.
Jawi menerusi kenyataan berkata, lori khas itu memudahkan urusan terutama bagi melancarkan inisiatif Jawi Food Bank untuk penghantaran bantuan kepada golongan terkesan dan memerlukan khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan.
“Jawi Food Bank adalah sebuah inisiatif bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik di bawah misi Musa’adah Covid-19.
“Program itu menyediakan bantuan barangan keperluan asas sejak pandemik melanda negara pada Mac 2020,” katanya.
Katanya, sehingga bulan ini, sejumlah 271,145 pek barangan seperti beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM 4,844,995 telah diagihkan kepada penerima.
Jelasnya, antara penerima termasuk golongan asnaf, B40, peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, gelandangan, frontliner kesihatan dan keselamatan termasuk masyarakat bukan Islam. -UTUSAN ONLINE