Nahas pesawat pejuang: Jangan ada pihak mengeruhkan keadaan - Utusan Malaysia

Nahas pesawat pejuang: Jangan ada pihak mengeruhkan keadaan

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden pesawat pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau telah meminta Lembaga Siasatan Khas untuk menjalankan siasatan segera berhubung punca insiden tersebut.

Beliau juga meminta Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Udara untuk maklumkan kepada orang ramai apa jua perkembangan terbaharu berhubung insiden tersebut.

“Kita berharap tidak mahu mana-mana mengambil kesempatan untuk mengelirukan dan mengeruhkan keadaan ekoran insiden tersebut.

“Saya terkejut, berasa dukacita dan amat sedih dengan kejadian ini. Tetapi, saya telah mengarahkan kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk hulurkan apa jua keperluan kepada kedua-dua pegawai terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di sini hari ini.

Semalam, seorang anggota TUDM maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden melibatkan pesawat pejuang Hawk 108 yang dipercayai terhempas kira-kira pukul 10.07 malam.

Pesawat itu terhempas ketika sedang melakukan latihan penerbangan di Pangkalan Udara Butterworth Pulau Pinang.

Hishammuddin kemudian menambah, sebarang keputusan lanjut berhubung penggunaan pesawat Hawk ekoran insiden berlaku di Pulau Pinang itu adalah bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan.

Beliau berkata, keputusan berkenan adalah perlu datang daripada ATM dan TUDM dan bukannya daripada beliau.

“Itu berkisar kepada siasatan dibuat. Sebelum ini pernah berlaku semasa saya Menteri Pertahanan ketika dahulu di mana satu insiden berkaitan satu pesawat.

“Keputusan ketika itu ground (gantung) semua pesawat. Itu bukan keputusan saya, tetapi daripada ATM dan TUDM. Untuk berikan penjelasan, kita serahkan kepada mereka yang mengetahuinya,” jelas beliau.

Malah Hishammuddin menambah, sebarang perancangan pembelian aset dan pesawat adalah mengikut seperti mana dasar kerajaan pada selama ini.

Beliau menambah, insiden yang berlaku itu tidak menuntut bagi kerajaan membuat perancangan berbeza seperti mana telah diumumkan di Parlimen dan dasar-dasar pertahanan kerajaan.

“Sama ada memerlukan pesawat baharu atau memerlukan peruntukan untuk penyelenggaraan ianya mesti datang daripada  kehendak TUDM sendiri.

“Kita bukan pakar, akhirnya pada terletak pada bahu TUDM sendiri untuk memastikan aset sedia ada adalah selamat menjalankan apa ditetapkan bagi memastikan negara selamat,” katanya.

Jelas beliau lagi, terserah kepada pihak berkaitan untuk melihat keutamaan sama ada ingin membeli aset baharu atau menggunakan peruntukan untuk menyelenggara pesawat sedia ada khususnya dalam suasana Covid-19 pada hari ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya