SEREMBAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan melakukan siasatan lanjut susulan video tular dua ekor babi hutan yang berkeliaran di kawasan parkir sebuah pasar raya di percayai di Taman Bukit Kepayang dekat sini.
Pengarah Perhilitan negeri, Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya juga akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada video rakaman tular itu merupakan rakaman terbaru atau lama.
“Pihak kami belum menerima sebarang aduan mengenai kejadian babi berkeliaran di kawasan tersebut sebelum ini namun terdapat aduan di kawasan pasar raya di Seremban Jaya pada awal tahun ini dan ia telah diambil tindakan.
“Kami akan melakukan siasatan kerana tidak pasti sama ada video ditularkan itu rakaman baharu atau lama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Video kemunculan dua ekor babi hutan berkeliaran di kawasan parkir premis sebuah pasar raya berdurasi 26 saat tular di menerusi aplikasi TikTok dan telah menarik perhatian warganet.
Pemerhatian menerusi video tersebut mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah pasar raya di Taman Bukit Kepayang, di sini. -UTUSAN ONLINE