PETALING JAYA: Sebuah infografik mengenai harga sayuran naik sebanyak RM2 sehingga RM12 sekilogram dalam satu hantaran bikin geram kalangan warganet dalam platform sosial media Facebook.
Dalam infografik tersebut, harga pasaran kubis bunga naik sebanyak RM8 iaitu daripada harga asal RM7 kepada RM16 sekilo dan harga pasaran sayur brokoli pula, naik sebanyak RM12 sekilo daripada harga asal RM8 kepada RM20.
Hasil tinjauan di ruangan komen, ramai warganet berasa marah, kecewa dan tidak kurangnya perkara itu menimbulkan rasa lucu.
“Mengapa kerajaan tidak mengawal harga barang? Tiada tindakan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang sekarang,” soal seorang warganet.
Seorang lagi warganet mengeluh; “harga ayam masih mahal lagi, naik harga sayuran harian pula. Minyak masak juga kena catu seorang dalam dua atau tiga paket sahaja.”
“Nampak gayanya, kita perlu rajin menanam sayur-sayuran sendiri. Macam saya duduk dekat flat boleh pandai-pandai membuat sayur-sayuran sebagai dekorasi, gantung tepi pagar dan dinding,” luah seorang individu.
Dalam pada itu, seorang warganet berasa keliru dengan kenaikan harga sayur-sayuran pada waktu ini.
“Mungkin atas faktor cuaca yang tidak menentu, kadang-kadang kering dan panas, kadang-kadang hujan atau ribut. Ia boleh jadi salah satu faktor sayur-sayuran naik harga berkali ganda.
“Malaysia bakal mengalami masalah inflasi yang melampau,” kata seorang warganet.
“Tolong kawal harga bahan mentah dan bahan kering, basah, semua. Kami peniaga ini semakin parah, nak naikkan harga jualan pelanggan mengadu. Jika tidak naik, tidak peroleh untung. Semakin teruk, dengan harga ayam mahal, ikan mahal dan semua barang mahal.
“Bantulah para peniaga kecil seperti kami di gerai makanan dan kafe #PM #KerajaanPrihatin #KeluargaMalaysia #KPDNHEP,” desak seorang warganet. – UTUSAN ONLINE