Harga sotong masih murah berbanding udang -LKIM - Utusan Malaysia

Harga sotong masih murah berbanding udang -LKIM

TULAR gambar yang dimuat naik individu yang tidak berpuas hati kerana dikenakan bayaran RM100 untuk dua ekor sotong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggemar masakan berasaskan sotong di negara ini tidak perlu bimbang kerana harganya masih lagi murah berbanding udang walaupun mahal sikit daripada ketam.

Menurut data terkini disiarkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), setakat minggu ketiga bulan ini, harga runcit sotong biasa secara purata adalah sekitar RM27.38 sekilogram.

Sekadar perbandingan, harga itu hanya mencatatkan peningkatan 10 sen daripada RM27.28 pada minggu kedua dan naik RM1.08 daripada RM26.20 pada minggu pertama November.

Kelmarin, tular dalam kalangan pengguna media sosial berkongsi gambar resit memaparkan harga dua ekor sotong goreng dijual RM100 dari sebuah restoran terkenal di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pemilik gambar tanpa kapsyen itu tampil memohon maaf secara terbuka menafikan dia dikenakan harga mahal tetapi mendakwa ada netizen salah faham isu tersebut.

Bahkan, dia sependapat dengan pengusaha premis nasi kandar popular di Georgetown itu bahawa harga yang dijual masih lagi munasabah dan bukan dianggap sebagai keterlaluan.

Isu itu tular susulan kes ramai pelanggan dikenakan harga amat mahal setelah menikmati menu ikan siakap dari sebuah restoran terapung ternama di Langkawi, Kedah awal bulan ini.

Mengulas lanjut, LKIM berkata, harga sotong biasa sebenarnya pernah hampir mencecah paras RM29.00 sekilogram pada minggu pertama Januari dan juga minggu pertama Jun lalu.

Namun, ia kembali jatuh kepada sekitar RM25.00 sekilogram atas pelbagai faktor tetapi masih rendah berbanding udang putih besar yang pada minggu lalu merekodkan harga RM46.68.

Sebaliknya, sotong secara signifikan dianggap agak tinggi sedikit harga runcitnya daripada ketam renjong yang secara purata mencatatkan RM24.48 sekilogram sepanjang minggu lepas.

Laporan harga pasaran diterbitkan LKIM secara mingguan itu menjadi rujukan peruncit tetapi ia mungkin berbeza berdasarkan kedudukan geografi dan bekalan semasa di sesuatu lokasi.

Jabatan Perikanan Malaysia sepanjang tahun lalu merekodkan sejumlah 40,113 tan sotong biasa telah didaratkan di seluruh negara dengan Sabah paling banyak penangkapan spesies itu.

Ia juga melaporkan harga runcit purata sotong tersebut tahun lepas ialah RM25.69 sekilogram, dengan paling murah pada Julai iaitu RM24.92 dan paling mahal Disember iaitu RM26.65. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya