Gangguan seksual: Seniman mahu artis tampil buat laporan rasmi - Utusan Malaysia

Gangguan seksual: Seniman mahu artis tampil buat laporan rasmi

ZED ZAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa semua artis yang menjadi mangsa gangguan seksual tampil ke hadapan dan menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan supaya tindakan di peringkat seterusnya dapat diambil.

Presidennya, Zed Zaidi berkata, pihaknya mendapati, ada mangsa yang dilihat lebih memilih untuk mengadu dalam media sosial berbanding membuat laporan polis atau membuat aduan kepada persatuan.

Tindakan ini, katanya, hanya menjejaskan nama industri seni tanahair selain memperlihatkan masalah ini gagal diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, perkara tersebut secara tidak langsung menghalang Seniman dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan juga menghukum pelaku kerana tiada aduan secara rasmi dibuat.

“Kalau tiada aduan secara rasmi, tiada kertas kerja atau kes yang kami boleh buka. Macam mana kami nak siasat? Kalau kami siasat dan perkara itu terbukti hanya tuduhan semata-mata, ia akan menjejaskan dan memberi kesan kepada Seniman pula.

“Nanti, bila perkara yang dibualkan dalam media sosial itu terjatuh fitnah, tukang cakap tak nak pulak mengaku yang dia pernah bercakap pasal isu ini. Itu sebab saya mohon rakan-rakan artis untuk tampil ke hadapan menggunakan saluran yang betul,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, penyanyi dan pelakon, Rafidah Ibrahim, membuat pengakuan pernah berhadapan dengan situasi gangguan seksual semasa melakukan aktiviti penggambaran menjadi buah mulut hangat oleh masyarakat.

Pelakon, Sharifah Amani turut mendedahkan bahawa gangguan seksual bukan sahaja dihadapi oleh artis-artis tempatan malah turut dirasai kru produksi filem dan drama, gangguan itu dilakukan secara lisan dan fizikal.

Zed berkata, Seniman akan membantu dan membimbing mangsa-mangsa berkenaan untuk menggunakan aduan saluran yang betul supaya pelaku-pelaku tersebut di bawa ke muka pengadilan.

“Mereka tak perlu takut hilang kerja, kena palau dan sebagainya, isu ini bukan perkara yang boleh di bawa main. Buang stigma itu supaya kami boleh bertindak,” katanya.

Tambahnya, Seniman juga memberi amaran keras kepada pelaku gangguan seksual supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan sama ada secara lisan dan bukan lisan kerana ia akan menjejaskan nama industri hiburan tanah air.

“Selepas pihak mahkamah mengumumkan pelaku bersalah dan menjatuhkan hukumannya, pelaku perlu nantikan hukuman susulan daripada Seniman pula,” tegasnya.

Khir Mohd Noor

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Kapten (K) Khir Mohd. Noor berkata, pihaknya kecewa mendengar desas-desus yang dilanda penggiat seni tanah air berkaitan gangguan seksual.

“Kita sebagai ikon kecil negara, apabila ini berlaku, ia amat memalukan, bagi saya, kalau ada yang terlibat tidak mengira artis atau kru produksi, mereka harus diserahkan kepada pihak polis dan di bawa ke muka pengadilan.

“Orang-orang seperti ini harus dikeluarkan daripada industri. Saya harap penerbit juga memainkan peranan untuk tidak mengambil individu-individu yang mempunyai masalah tingkah laku seperti ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya