KUALA TERENGGANU: Penduduk di 37 kampung di negeri ini diminta berwaspada dengan fenomena air laut pasang tinggi yang diramalkan bermula Jumaat ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, kejadian berkenaan dijangka berterusan selama 10 hari hingga 12 Disember berdasarkan jadual pasang surut air yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Katanya, bagi daerah Besut, lokasi yang dikesan ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail manakala di Setiu melibatkan Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.
“Di Kuala Nerus pula membabitkan Kampung Seberang Takir, Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Pulau Rusa diikuti Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai dan Taman Purnama di Kuala Terengganu serta Kampung Merchang (Marang).
“Bagi daerah Dungun, terdapat 13 kawasan yang terjejas iaitu Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah, Kampung Durian Mentangau, Kampung Sura, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kampung Che Lijah, Kampung Alur Makbah, Kampung Bijangga, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Sungai Udang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Hanafiah, di Kemaman, kejadian air laut pasang tinggi turut dikesan di Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dan pelancong agar menjauhi kawasan pantai sepanjang tempoh tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya minta ibu bapa atau penjaga memantau aktiviti anak-anak di pantai kerana kita tidak mahu peristiwa menyayat hati kehilangan ahli keluarga akibat fenomena air pasang besar atau ombak besar berulang,” katanya. – UTUSAN