PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) sebagai rakan kongsi pengetahuannya.
Menurut Bursa Malaysia, ICDM akan melaksanakan Program Akreditasi Mandatori (MAP) untuk pengarah-pengarah syarikat senaraian awam (PLC), sejajar dengan matlamat penyelia pasaran saham itu untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, budaya tadbir urus korporat yang kukuh sangat penting untuk kredibiliti, ketertarikan dan kemampanan berterusan korporat Malaysia, lebih-lebih lagi melihat kepada peranan pentingnya dalam pertumbuhan masa hadapan ekonomi Malaysia.
Kata beliau, penyeliaan kendiri dalam pasaran, khususnya dalam mencapai dan mengatasi kedua-dua jangkaan penyeliaan dan pasaran adalah penting untuk terus meningkatkan kebertanggungjawapan dan kelangsungan keyakinan pasaran.
“Oleh itu, adalah mustahak untuk para pengarah dilengkapi dengan pola fikir dan kecekapan yang tepat pada permulaan perjalanan mereka sebagai pengarah.
“Pastinya, MAP bertindak sebagai pemangkin profesionalisme dan keberkesanan para pengarah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Bursa Malaysia, edisi termaju MAP merupakan program masa hadapan yang menyatukan prinsip tadbir urus korporat terkini dan amalan terbaik bagi melengkapkan ahli lembaga pengarah dengan pengetahuan penting berkenaan tadbir urus korporat yang baik dan tanggungjawab fidusiari mereka.
Katanya, ia turut meningkatkan kecekapan mereka dalam bidang-bidang baru muncul seperti agenda kemampanan, kapitalisme pemegang taruh selain pengurusan reputasi dan krisis.
Antara elemen utama modul MAP turut melibatkan perkongsian pengalaman amali dan amalan terbaik dalam konteks tempatan dan serantau oleh pemudah cara program.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ICDM, Michele Kythe Lim berkata, pihaknya menyasarkan untuk membekalkan peserta MAP dengan modul pembangunan kecekapan bertanda aras dunia dan pengetahuan paling relevan melalui sumber dan rangkaiannya.
“(Kami) menjamin kecekapan profesional dan piawaian berteladan, khususnya dalam persekitaran ketelitian dan jangkaan tinggi terhadap para pengarah.
“Sebagai institut pengarah (IoD) yang diiktiraf Suruhanjaya Sekuriti (SC), ICDM bertindak sebagai pusat kecemerlangan untuk pembangunan profesional para pengarah, menjaga kitaran lengkap kepengarahan, dari pengarah beraspirasi sehingga yang baharu dan lama,” katanya. – UTUSAN