Belanjawan Negeri Sembilan 2022 sedia 52 inisiatif bantu rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan Negeri Sembilan 2022 sedia 52 inisiatif bantu rakyat

AMINUDDIN Harun ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022 bertema Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat pada Persidangan Kedua (Belanjawan), Penggal Keempat, DUN Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2022 yang merupakan belanjawan defisit sebanyak RM88 juta.

Ia merupakan belanjawan defisit untuk tahun kedua berturut-turut yang dibentangkan selepas Belanjawan 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM520 juta berbanding anggaran hasil yang berjumlah RM432 juta manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula adalah sebanyak RM130 juta. 

“Dalam meneruskan agenda pemulihan ekonomi, adalah perlu bagi sesebuah kerajaan negeri untuk berbelanja lebih daripada kutipan hasil bagi membolehkan lebih banyak intervensi dan suntikan dana awam dilakukan sekali gus membantu kenaikan KDNK negeri.

“Belanjawan defisit ini perlulah bersifat terarah dengan memberikan keutamaan kepada sektor-sektor yang memberi nilai pengganda tinggi kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022 bertema Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat pada Persidangan Kedua (Belanjawan), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Menurut Aminuddin, hasil cukai dijangka menyumbang sebanyak RM160.37 juta atau 37.12 peratus pada tahun hadapan manakala hasil bukan cukai pula dijangka akan menyumbang sebanyak RM211.64 juta atau 48.99 peratus. 

“Penurunan sasaran hasil bukan cukai ini adalah berdasarkan jangkaan penurunan hasil premium tanah disebabkan pemulihan ekonomi yang dijangka perlahan bagi sektor pembinaan dan hartanah. 

“Terimaan bukan hasil pula dijangka akan diperolehi sebanyak RM59.99 juta atau 13.89 peratus,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, Belanjawan Negeri Sembilan 2022 akan dilaksana berdasarkan tiga strategi selain memberikan fokus kepada lapan bidang tumpuan iaitu Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Institusi Adat dan Pentadbiran.

“Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan telah direncanakan oleh kerajaan negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

“Sukacita saya umum sebanyak 52 inisiatif berjumlah RM64.09 juta akan dilaksanakan dalam Belanjawan 2022 untuk rakyat negeri ini. Sebanyak 40 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik dan 12 inisiatif baharu diperkenalkan,” katanya lagi.

Turut diumumkan, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri 

Sementara itu, menerusi kenyataan akhbarnya, Aminuddin berkata, kedudukan rizab yang kukuh sebanyak RM899 juta, membolehkan kerajaan negeri menetapkan peruntukan perbelanjaan tahun 2022 tersebut. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya