PUTRAJAYA: Setiap agensi kerajaan perlu menjadi responder baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan bagi mengatasi situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP)
atau garis panduan yang telah disediakan.
Menurut beliau, pandemik Covid-19 dan varian-variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya dari negara ini dan ia memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ’bencana dalam bencana’ terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang bermula pada 3 November lalu.
“Pada masa sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana, ” katanya ketika berucap pada majlis #KeluargaMalaysiaSiagaBencana, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam mendepani pandemik Covid-19, Keluarga Malaysia tidak henti menyokong usaha kerajaan memerangi wabak itu termasuk menerusi kerjasama komuniti dengan pelbagai agensi kerajaan.
Kata beliau, antara inisiatif dilakukan termasuk Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dilancarkan pada April lalu, bertujuan memperkasakan peranan komuniti melalui jalinan
kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas jangkitan wabak itu.
“Program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) adalah antara contoh terbaik yang boleh membantu pencapaian objektif pemerkasaan komuniti dengan mereka didedahkan cara bertindak sebagai early responder apabila berlaku bencana,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, sebagai agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR).
Jelas beliau, DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana sahaja tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.
Justeru, katanya, kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku.
“Ia bagi memudahkan untuk kita merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat Matlamat Pembangunan Mampan.
“Bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik antaranya platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma (NGO, badan korporat dan orang perseorangan) dan penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah),” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan Pertandingan Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dilancarkan pada April lalu bertujuan memperkasakan peranan komuniti melalui jalinan
kerjasama antara kerajaan, NGO dan masyarakat untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas jangkitan wabak.
Ia melibatkan 82 kampung tradisional, kampung Orang Asli dan kawasan luar bandar, serta 18 buah bandar. -UTUSAN ONLINE