KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 kepada 163 individu pada istiadat kedua di Istana Negara hari ini.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar mendahului senarai sembilan penerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Ini diikuti Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan, bekas Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Dr. Noordin Ab Razak dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique.
Penerima lain termasuklah pakar perubatan Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Balachandran Kandasamy, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrasound Malaysia, Datuk Seri Prof. Dr. Paras Doshi dan Pengarah Eksekutif Mah Sing Group Berhad, Datuk Seri Leong Yuet Mei.
Selain itu, seramai 38 penerima Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk iaitu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dan dua bekas jaguh badminton negara, Datuk Abdul Rashid Mohd. Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.
Turut dikurniakan PMW adalah penggiat seni dan budaya, Datuk Yusry Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Lokman Omar dan Presiden Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.
Dalam pada itu, seramai 22 individu dikurniakan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 41 Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 18 Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 35 penerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).
Sesi istiadat kedua ini diadakan selepas sesi pertama pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2021 diadakan pada 23 Mac lalu. -UTUSAN ONLINE