BUKIT JALIL: Seramai 52 penghuni Program Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera – Tentera Darat (RKMAT-TD) di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bukit Jalil mula berpindah masuk semalam.
Menurut Kementerian Pertahanan, jumlah tersebut berpindah masuk ke Blok 2 RKMAT-TD pada hari pertama perpindahan berkelompok yang dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam sehingga 10 Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RKMAT merupakan antara agenda utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 yang berkait rapat dengan aspirasi utama beliau sebagai Perdana Menteri, iaitu aspirasi Keluarga Malaysia.
“Melalui aspirasi ini, selain keterangkuman dan kebersamaan, saya turut menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya.
“Keterangkuman dan kebersamaan ini termasuklah kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang begitu besar jasa, khidmat bakti dan pengorbanannya kepada tanah air kita yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan ketika majlis perasmian RKMAT.
RKMAT-TD di Taman LTAT, Bukit Jalil telah dirasmikan Ismail Sabri pada 3 November lalu melibatkan 2,000 unit rumah.
Program tersebut merupakan inisiatif perumahan yang dirancang oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama LTAT.
Menurut Kementerian Pertahanan, ia merangkumi empat blok pangsapuri 38 tingkat dengan keluasan binaan 850 kaki persegi untuk setiap satu unit kediaman bagi memenuhi keperluan anggota Tentera Darat di Lembah Klang.
Katanya, unit kediaman itu turut dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, gimnasium, surau dan unit kedai yang selesa serta kondusif untuk didiami.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya melalui Rangka Tindakan Perumahan 2.0 sedang melaksanakan perancangan untuk membina 28,033 unit RKMAT di seluruh negara bermula tahun ini sehingga 2030.
Kata beliau, jumlah itu termasuk 8,852 unit RKMAT seperti diumumkan Perdana Menteri menerusi RMK12 khusus untuk warga ATM.
“Daripada jumlah 8,852 tersebut, sebanyak 1,509 unit sudah dalam proses pembinaan manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan.
“Dengan siapnya 2,000 unit RKMAT di Bukit Jalil ini, diharapkan ia memenuhi kira-kira 85 peratus keperluan perumahan anggota ATM di Lembah Klang,” katanya.
Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Koperal Ahmad Husairi Mohamad Salleh berkata, dia sangat bersyukur kerana terpilih untuk menjadi salah seorang penghuni di RKMAT, Bukit Jalil.
Ujarnya, sebelum ini, dia perlu membayar sewa rumah sebanyak RM1,200 setiap bulan.
“Bagi saya, kos itu agak tinggi dengan keadaan rumah yang mempunyai tiga bilik tidur dan satu bilik air sahaja.
“Setelah berpindah, saya sangat berpuas hati kerana rumah ini jauh lebih selesa dan luas. Ia mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas selain mempunyai kemudahan yang lengkap seperti peti ais, sofa dan meja makan,” katanya.
Anggota TDM, Staf Sarjan Noor Azzila Hashim juga meluahkan rasa gembira setelah berpindah ke salah satu unit RKMAT.
Menurutnya, kekurangan semasa tinggal di luar kawasan kem dan di sekitar Kuala Lumpur adalah bayaran sewa rumah yang sangat mahal walaupun rumah itu tidak mempunyai kelengkapan penuh.
“Jika ingin menyewa rumah berkelengkapan penuh harganya pasti akan lebih mahal. Namun, saya bernasib baik kerana boleh tinggal secara percuma di RKMAT yang sudah mempunyai kelengkapan penuh,” jelas Noor Azzila.
Seorang lagi anggota TDM, Prebet Johnathan Thunderbirds bersama isterinya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan atas kemudahan yang diberikan kepada keluarganya. – UTUSAN