476,037 layak mengundi Sabtu ini - Utusan Malaysia

476,037 layak mengundi Sabtu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 476,037 pengundi biasa daripada 495,195 pengundi berdaftar, layak mengundi pada Sabtu ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, selebihnya adalah dalam kalangan 11,557 pengundi awal dan 7,601 orang mengundi secara pos. 

Menurut beliau, bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi. 

“Pengundi disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi melalui saluran-saluran seperti portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my;  aplikasi MySPR Semak; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018. 

“Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, melalui aplikasi MySPR Semak, SPR juga meletakkan maklumat  masa keluar mengundi yang digalakkan untuk setiap pengundi dan pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan tersebut. 

Beliau berkata, sekiranya pengundi tidak dapat hadir  pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab  tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut  kelapangan masa dari pukul 8.00 pagi hingga 5.30 petang. 

Namun, katanya, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi  pada saat-saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang,  peraturan dan garis panduan pencegahan Covid-19 pada hari  mengundi nanti. 

“Pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada  Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. 

“Catatan maklumat  pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan  nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada  hari mengundi,” katanya.

SPR juga menasihati pengundi supaya tidak menyerahkan kad  pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan  raya. 

SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar  menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu  ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya