VAT 69 mohon kenaikan elaun selam - Utusan Malaysia

VAT 69 mohon kenaikan elaun selam

ANGGOTA-ANGGOTA VAT 69 menunjukkan kemahiran menggempur lokasi musuh dalam latihan Selam Ranjau VAT 69 di Pulau Perhentian, Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Pasukan 69 Komando (VAT 69) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat menilai secara terperinci untuk mempertimbangkan kenaikan elaun selam skuba bagi anggota-anggota pasukan khas berkenaan.

Komander VAT 69, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Mohd. Yusof berkata, kenaikan itu perlu berdasarkan kepakaran serta kemahiran yang dimiliki selain tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh setiap anggota pasukan tersebut.

Jelas beliau, kemahiran dan kepakaran selam VAT 69 sepanjang masa sentiasa dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan semasa dan teknologi serta ancaman yang dihadapi.

Sehubungan itu, katanya, latihan yang dijalani juga sentiasa berubah dan kemahiran dipertingkatkan supaya VAT 69 tidak kehilangan sentuhan kepakaran atau kemampuan.

“Elaun selam VAT 69 sedia ada sudah lebih 15 tahun dan tidak berubah.

“Kita mohon kerajaan dapat pertimbangkan secara terperinci agar elaun selam pasukan ini dapat dinaikkan berdasarkan kemahiran serta kepakaran dimilik selain bentuk latihan yang diterima dan tanggungjawab setiap anggota dalam memenangi ancaman anasir jahat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai latihan Selam Ranjau VAT 69 di perairan Pulau Perhentian di sini, baru-baru ini.

Latihan melibatkan kira-kira 50 anggota itu disaksikan serta dipantau oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali. 

Turut hadir pegawai-pegawai JPA.

Dalam latihan tersebut, pasukan VAT 69 mempamerkan kemahiran melompat dari helikopter dengan berpakaian selam, kemampuan mengendalikan skuter bawah permukaan, menenggelamkan bot tempur sebelum menyusup ke lokasi musuh serta menimbulkan jentera berkenaan semula selain beberapa kemahiran lain.

Difahamkan, elaun selam VAT 69 ialah RM100 yang diterima setiap bulan, namun ia lebih rendah berbanding pasukan-pasukan khas yang terdapat di negara ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya