PUTRAJAYA: Kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja kini mencapai 80.2 peratus atau bersamaan 2,524,156 individu, iaitu antara tindakan pemberian vaksin terpantas di dunia sejak dilaksanakan pada 20 September lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mengambil kira kadar positif itu, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju agar kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini turut diperluaskan kepada golongan remaja yang lengkap divaksin.
Ini bermakna, kata beliau, syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun akan dinyatakan dalam semua prosedur operasi standard (SOP).
“Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta merta. Pihak kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja ‘grace period’ selama tiga minggu atau sehingga pertengahan bulan depan.
“Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap,” katanya dalam kenyataan semalam.