Tipu bakal mentua, pemuda dipenjara tiga tahun, enam sebatan - Utusan Malaysia

Tipu bakal mentua, pemuda dipenjara tiga tahun, enam sebatan

SHAH Jahan Sazali didakwa atas 13 pertuduhan menipu wang bakal bapa mentuanya dan seorang pesara guru di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemuda yang menipu seorang imam yang juga bakal bapa mentuanya sehingga mangsa kerugian RM40,200 baru-baru ini, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam sebatan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Shah Jahan Sazali, 36, seorang peniaga dalam talian mengaku bersalah selepas enam pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa memperdaya Mad Rozali Botok, 65, dengan menjalankan perniagaan emas yang tidak wujud sehingga mangsa bertindak menyerahkan wang sebanyak RM24,200 kepadanya.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Ogos hingga 12 September lalu di sebuah pangsapuri di  Bandar Baru Kubang Kerian, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Intan Nor Nadhirah Ismail.

Yusnaliza memohon satu hukuman setimpal terhadap tertuduh manakala Intan Nor Nadhirah dalam rayuannya pula memohon hukuman lebih ringan memandangkan tertuduh telah mengaku bersalah selain sudah insaf.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar hari ini, Shah Jahan mengaku bersalah terhadap tujuh lagi pertuduhan menipu bakal mentuanya itu serta seorang lagi pesara guru.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dia didakwa memperdaya Mad Rozali dengan perniagaan emas yang tidak wujud menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM16,000 kepadanya di lokasi sama, pada 28 Jun hingga 5 September lalu.

Bagi pertuduhan ketujuh, pemuda itu didakwa memperdaya Husin Md. Ali, 74, sehingga mangsa menyerahkan sebuah kereta jenis Proton Waja kepadanya dengan alasan untuk dibaiki.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau sehingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan bagi ketujuh-tujuh kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ariyani Mohd. Amin.

Bagi tujuh pertuduhan tersebut, Majistret Muhammad Fitri menetapkan tarikh 28 November depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN