DUNGUN: Dua sahabat ditemukan selamat selepas tersesat hampir tiga jam ketika menuruni bukit di Taman Rimba Bukit Bauk di sini, semalam.
Mangsa, Muhammad Haikal Mohd. Faiz Azmi dan Ahmad Syakir Aidil Mat Zahari yang masing-masing berusia 21 tahun ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 1.30 petang.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azman Alias berkata, pihaknya bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, kedua-dua mereka dikatakan mendaki bukit setinggi kira-kira 400 meter itu dengan menggunakan laluan denai yang lazim dilalui pendaki lain.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan turun, mangsa tersasar sejauh dua kilometer dari laluan asal dan ketika ditemui mereka selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Azman berkata, dua sahabat itu kemudian dibawa turun sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut. -UTUSAN ONLINE