Tasik Temenggor, Royal Belum dibuka kepada pelancong mulai hari ini - Utusan Malaysia

Tasik Temenggor, Royal Belum dibuka kepada pelancong mulai hari ini

BRAINS 2018 Belum Temenggor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Setelah hampir 19 bulan terpaksa menutup operasi disebabkan pandemik Covid-19, Tasik Temenggor  kembali dibenarkan dikunjungi pelawat mulai hari ini bagi memulihkan semula aktiviti pelancongan di situ.

 

Tourism Perak Management Bhd. dalam kenyataannya hari ini berkata, kelonggaran bagi aktiviti pelancongan itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

“Akhirnya, pengusaha produk pelancongan di Tasik Temenggor terutamanya pengusaha rumah bot atau houseboat dapat dapat menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula bermula 8 Oktober iaitu hari ini. 

 

“Pembukaan sektor pelancongan ini akan memberikan sinar baharu kepada mereka yang mana secara tidak langsung dapat membantu mempertingkat ekonomi komuniti setempat setelah sekian lama suram akibat tiada menerima kunjungan daripada pelancong,” kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu, antara SOP yang perlu dipatuhi ialah pengusaha perkhidmatan rumah bot perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Jabatan perikanan serta wajib menyediakan kemudahan mengimbas kod QR MySejahtera dan menyediakan buku pendaftaran kehadiran pelanggan sekiranya tiada liputan internet. 

 

Jelasnya, menerusi pemeriksaan status MySejahtera, hanya individu yang berstatus berisiko rendah (Low Risk) termasuk ‘risiko rendah kontak rapat’ (Casual Contact Low Risk) sahaja dibenarkan masuk.

 

Pada masa sama, kata kenyataan itu, pematuhan sepenuhnya ke atas semua protokol kesihatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa aktiviti dilaksanakan dan kerap membasuh tangan serta menggunakan pencuci tangan. 

 

Menurutnya, proses nyahkuman dan pembersihan premis hendaklah dilaksanakan tiga kali sehari dalam tempoh operasi terutamanya di kawasan umum seperti surau, tandas, stor dan kaunter. 

 

“Kebenaran bermalam dalam rumah bot dibenarkan dengan syarat rumah bot tersebut berada di dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum semasa bermalam iaitu selama tiga hari dua malam manakala bilangan maksimum penumpang termasuk jurumudi dalam satu bot tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti asal penumpang.

 

“Hanya pelanggan berumur antara 18 hingga kurang 60 tahun dibenarkan melaksanakan aktiviti tersebut,” jelas kenyataan itu lagi.

 

Kenyataan itu memberitahu pengunjung yang ingin memasuki Taman Negeri Royal Belum pula disyaratkan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.

 

Mereka hanya dibenarkan menjalankan aktiviti memancing secara harian tanpa melibatkan bermalam, pengunjung dalam Perak sahaja, pengusaha dan pengunjung telah lengkap divaksinasi dan perlu mengemukakan salinan sijil sah vaksinasi Covid-19 bersama borang permohonan permit serta kapasiti penumpang bot adalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar.

 

Menurut kenyataan itu, aktiviti ke perkampungan Orang Asli buat masa ini adalah tidak dibenarkan.

 

Bagaimanapun, menurutnya, SOP yang disediakan itu adalah tertakluk kepada sebarang perubahan arahan, peraturan dan SOP semasa yang diumumkan oleh pihak kerajaan. 

 

Jelasnya, pengusaha pelancongan dan pengunjung perlu mematuhi garis panduan pelaksanaan aktiviti pelancongan di Tasik Temenggor, Gerik yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan Wabak Covid-19 dan memastikan destinasi tersebut selamat untuk dikunjungi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya