Tak perlu surat kebenaran CIMS - Utusan Malaysia

Tak perlu surat kebenaran CIMS

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS).

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran merentas negeri di seluruh negara bagi Keluarga Malaysia yang menerima vaksinasi lengkap.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, setiap sektor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutama negeri-negeri di dalam PPN Fasa dua dan tiga.

Katanya, kebenaran merentas negeri ini dilihat sebagai satu lagi langkah positif kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan.

“Sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua tahun ini.

“Sebagai makluman, sektor pengedaran dan peruncitan dibuka sepenuhnya, namun, masih perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua ahli Keluarga Malaysia, pengguna dan peniaga dinasihatkan menjadi pengguna bijak dan berhemat dalam berbelanja dengan melaksanakan strategi pembelian seperti merancang pembelian, lokasi dan waktu pembelian bagi memaksimakan penjimatan.

“Utamakan kualiti dan sentiasa membuat perbandingan harga dan membeli dari premis menawarkan harga berpatutan. Selain itu, Keluarga Malaysia juga diingatkan tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

“Pastinya semua telah melalui kesusahan dan keperitan dalam mematuhi langkah-langkah yang terpaksa diambil oleh kerajaan semasa pandemik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia tidak harus berulang disebabkan kelalaian dalam mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Alexander menambah, ini penting dalam usaha membantu negara bagi pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.

“Untuk itu, Penguat Kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar iaitu mereka akan berpakaian biasa bagi memastikan premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19,” tegas beliau.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN