SOP gelembung pelancongan Pangkor siap minggu depan - Utusan Malaysia

SOP gelembung pelancongan Pangkor siap minggu depan

NOLEE Ashilin Mohammed Radzi turut menderma darah pada program anjuran PTA di Hospital Pakar Komuniti Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Prosedur operasi standard (SOP) untuk gelembung pelancongan ke Pulau Pangkor dalam peringkat penyediaan dan dijangka siap minggu depan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, draf SOP tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk disemak sebelum pulau peranginan itu boleh dibuka kembali kepada pengunjung.

 

“Kita telah pun melaksanakan mesyuarat sekretariat penyelarasan untuk SOP Pulau Pangkor dan ia dalam peringkat penyediaan.

 

“Minggu hadapan, kita akan serahkan kepada MOTAC untuk meneliti draf SOP itu sama ada Pulau Pangkor layak untuk syarat-syarat yang telah ditetapkan (gelembung pelancongan). 

 

“Sebarang keputusan tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan MOTAC,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah anjuran Persatuan Pelancongan Perak (PTA) di Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) di sini hari ini.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri telah bersedia dari segi penyelarasan bersama agensi bertanggungjawab termasuk operator pelancongan sekiranya Pulau Pangkor diberi kelulusan untuk dibuka kepada pelancong.

 

Bagaimanapun katanya, sekiranya pulau tersebut masih belum menepati kriteria ditetapkan, penyelarasan yang dijalankan itu adalah sebagai persediaan awal untuk kelonggaran rentas negeri yang akan diumumkan tidak lama lagi.

 

“Dari segi SOP, kita telah berhubung dengan semua agensi terlibat khususnya membabitkan isu pintu masuk. Kita telah mendapatkan persetujuan dan kerjasama daripada mereka untuk mengadakan syarat-syarat asas bagi pematuhan SOP sekiranya gelembung diluluskan.

 

“Bagaimanapun, jika sebaliknya, SOP itu juga penting untuk kita mempersiapkan diri setelah perjalanan rentas negeri dibenarkan. Kita tidak rugi buat persediaan ini khususnya gelembung antarabangsa sekiranya dibenarkan pada masa akan datang,” katanya.

 

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan negeri juga optimis dengan sasaran asal untuk Pulau Pangkor dibuka selewat-lewatnya pada 1 November depan.

 

“Gelembung atau pun tidak, jika perjalanan rentas negeri dibenarkan, maka kita akan buka semula Pulau Pangkor kepada pengunjung,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN