KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan sistem Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan yang dijangka siap pada 2023.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sistem itu sedang dalam perincian sejak mula dibangunkan pada tahun lalu.
Katanya, proses itu turut melibatkan pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut melibatkan semua fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh Malaysia.
“Sistem ini juga telah disenaraikan dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan diperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2023.
“Pembangunan sistem daftar bunuh diri ini membolehkan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperoleh yang mana akan membantu memperkukuhkan usaha pembangunan polisi dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Fadhlina Sidek berhubung status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.
Ketika ditanya oleh Fadhlina mengenai pendekatan yang digunakan Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti kes bunuh diri sementara menunggu sistem itu siap pada 2023, Noor Azmi berkata pihaknya menggunakan pelbagai sumber ketika ini.
Katanya, statistik yang menunjukkan 609 kes bunuh diri pada 2019 dan 631 kes pada 2020 iaitu peningkatan dua peratus diperoleh dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sekarang ini kita menggunakan data dari tempat lain, data yang kita guna ketika ini adalah dari PDRM, kita juga guna sumber dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Sosial Malaysia (ISM) bagaimana kenal pasti masalah bunuh diri di negara ini.
“Contohnya, antara Januari hingga Mac 2021 terdapat 336 kes sedangkan antara Januari hingga Mac 2020 adalah 112 kes iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus.
“Malah, kes-kes didapati melibatkan kebanyakan umur yang produktif iaitu 19 tahun hingga 40 tahun, jadi kementerian mengambil data PDRM untuk melihat dan mengkaji, sebab itu usaha untuk melaksanakan sistem ini sedang dipergiatkan dengan serius dan kita meletakkan dana tinggi untuk melaksanakan perkara ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE