“Saya tidak pernah menduduki Seri Perdana” - Muhyiddin - Utusan Malaysia

“Saya tidak pernah menduduki Seri Perdana” – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi ketua kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

Beliau berkata, sekiranya ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

Katanya, bagi memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja-kerja baik pulih dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri (JPM)

“Saya percaya Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai penjelasan berhubung kerja-kerja membaik pulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.

Menurut Muhyiddin, semasa beliau mula menjawat jawatan Perdana Menteri pada bulan Mac 2020, beliau menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana yang merupakan bangunan rasmi JPM.

Katanya, kerosakan itu melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung yang telah rosak atau usang.

“Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana terlalu usang.

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar,” katanya.

Tambah beliau, oleh kerana bangunan Seri Perdana mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang telah usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

“Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya