PONTIAN: Kukup Golf Resort (KGR) yang kini berusia 29 tahun bersedia untuk menyambut sekali lagi kehadiran pelancong dari dalam negeri terlebih dahulu apabila dijangka beroperasi sepenuhnya pada 8 Oktober ini.
Meskipun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mereka kehilangan pendapatan kira-kira RM2 juta terutama dari tempahan penganjuran acara yang telah dibatalkan pada saat-saat akhir, namun itu tidak menjadi penghalang.
Pengurus KGR, Ishak Abu berkata, kehilangan pendapatan itu juga disebabkan oleh pembatalan lawatan dari luar negara termasuk pelawat dari Korea Selatan yang sepatutnya datang untuk bermain golf melalui agensi pelancongan tempatan.
“Kehadiran mereka secara tidak langsung telah dapat mempromosi pelancongan bagi daerah Pontian di luar negara yang mungkin akan datang dalam bentuk lawatan yang lain.
“Jadi, kali ini sempena dengan pembukaan semula kepada orang ramai, KGR akan menawarkan harga potongan bagi bilik-bilik penginapan kepada pengunjung termasuk penyediaan sarapan pagi kepada mereka.
“Malah, kemudahan untuk pemain golf juga telah dibuka sejak 5 September lalu namun perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dengan pemain perlu mempunyai dos vaksin lengkap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Kata Ishak, selepas padang golf, persiapan ketika ini terarah kepada bilik-bilik penginapan bagi pelawat yang ingin bermalam dengan menawarkan 16 bilik standard, 48 bilik deluxe dan 20 bilik lagi adalah kategori bajet.
Tambahnya, selain bilik penginapan, tumpuan juga kepada penyediaan kemudahan kolam renang terutama kepada penduduk tempatan yang telah lama menanti untuk beriadah bersama keluarga masing-masing.
“Terdapat tiga buah kolam renang mengikut kategori untuk kanak-kanak, keluarga dan kolam renang separuh Olimpik dengan harga yang berbeza termasuk mengikut hari biasa atau hujung minggu,” ujarnya.
Katanya, potongan harga turut diberikan kepada mereka yang datang untuk bermain golf bagi menarik lebih ramai pemain bukan sahaja tempatan tetapi dari Johor Bahru, Batu Pahat, Muar, Kulai dan daerah-daerah lain.
Ditanya mengenai tenaga kerja di KGR ketika ini, kata Ishak, terdapat 42 orang pekerja yang masih bertahan dalam situasi pandemik walaupun gaji mereka terpaksa dipotong sebanyak 30 peratus.
Namun ujarnya, bermula Oktober, pihak pengurusan akan memberikan gaji penuh kepada semua kakitangan seperti mana sebelumnya memandangkan KGR telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, bagi memastikan pematuhan SOP, kakitangan KGR juga telah diberikan penerangan mengenai cara menyambut tetamu dalam norma baharu supaya tidak berlaku sebarang wabak jangkitan Covid-19. -UTUSAN ONLINE