KUALA KANGSAR: Seorang pengusaha kolam ternakan ikan terpaksa berputih mata apabila ribuan ekor ikan air tawar yang diusahanya terlepas akibat banjir kilat yang melanda Kampung Ngor di sini kelmarin.
Mohamad Nasir Mohd. Razali, 39, berkata, kejadian itu mengakibatkan dia mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila tiga kolam yang diusahakannya ditelenggami limpahan air Sungai Ngor.
Katanya, kejadian itu bukanlah pertama kali dialaminya sebaliknya berlaku lebih 10 kali dalam tempoh setahun.
“Setiap kali hujan lebat dan berterusan, saya amat bimbang apabila memikirkan air dari Sungai Ngor akan melimpah dan menyebabkan banjir sehingga ke paras pinggang.
“Keadaan ini memberi kesan kepada tiga kolam ternakan ikan yang saya usahakan di mana ikan-ikan seperti ikan kelah, baung dan belida hanyut dibawa arus deras sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohamad Nasir, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian ratusan ribu ringgit berdasarkan harga ikan kelah yang boleh dijual pada harga RM500 sekilogram.
“Ikan-ikan ini saya pasarkan sendiri di restoran-restoran sekitar Pahang dan Selangor dengan kelah dijual pada harga RM500 sekilogram manakala baung dan belida pula RM45 sekilogram.
“Kali ini, saya tidak sempat menikmati hasil jualan apabila ketiga-tiga kolam ditenggelami air banjir,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamad Nasir berkata, kejadian banjir kilat dialami penduduk sejak tiga tahun lalu itu dikatakan berpunca daripada tindakan menambak sungai untuk projek ternakan ikan.
Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan sungai menjadi sempit sekali gus tidak mampu menampung kuantiti air hujan yang banyak dan mengakibatkan banjir.
Katanya, aduan mengenai perkara itu telah dibuat kepada pemimpin setempat dan jabatan terlibat namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Sepanjang saya membesar di kampung ini, tidak pernah berlaku banjir sehinggalah wujud projek ternakan ikan yang telah menambak rizab sungai hingga menyebabkan aliran sungai menjadi sempit.
“Masalah yang kami alami sepanjang tiga tahun ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan mendalam dan meluaskan sungai ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE