R&R Paka kembali bernyawa - Utusan Malaysia

R&R Paka kembali bernyawa

BEBERAPA pelanggan membeli makanan dan minuman di hentian rehat dan rawat (R&R) Paka di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Dungun, hari ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Suasana di hentian rehat dan rawat (R&R) Paka di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini yang sepi sejak lebih tiga bulan lalu, akhirnya kembali meriah dengan kunjungan pelanggan.

Perkembangan positif itu sekali gus melegakan rata-rata peniaga apabila jualan di premis masing-masing meningkat secara mendadak.

Seorang peniaga keropok, Wan Norasyidah Wan Nasir, 23, berkata, jika sebelum ini perniagaannya ibarat kais pagi makan pagi namun, kini jualan yang diraih mencecah RM100 dalam tempoh singkat sebelum tengah hari.

“Berbulan-bulan kedai saya ditutup sebab tiada pelanggan tetapi pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebenaran rentas negeri memberi keyakinan untuk beroperasi semula sejak Isnin lalu.

“Kebanyakan pelanggan membeli keropok lekor dan keropok keping sebagai buah tangan untuk orang tersayang,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Bagi peniaga minuman, Nurmaziatul Hidayu Abdul Haadi, 19, operasi perniagaan di premisnya kini dilanjutkan dari pukul 9 pagi hingga 9 malam berbanding sebelumnya, 11 pagi hingga 6 petang.  

“Dulu saya banyak termenung menunggu pelanggan tetapi sekarang, tidak henti-henti orang membeli hingga tidak menang tangan jika mereka datang serentak.

“Jualan meningkat berganda daripada RM20 sehari kepada purata RM300,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di sekitar LPT2 mendapati lebuh raya berkenaan mulai sibuk sejak pagi lagi apabila orang ramai memanfaatkan cuti hujung minggu untuk pulang ke kampung di samping melancong bersama keluarga. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya