RMK-12: Teknologi pintar diperluas dalam sektor pertanian  - Utusan Malaysia

RMK-12: Teknologi pintar diperluas dalam sektor pertanian 

DR RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan teknologi pertanian diperluaskan dalam sektor pertanian negara khususnya dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

 

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, teknologi pintar itu penting bagi meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentas semua subsektor agromakanan.

 

Beliau berkata, inisiatif ini termasuk menerima pakai kaedah pertanian berteknologi tinggi merangkumi analisis data raya (BDA), kecerdasan buatan (AI) dan internet benda (IoT).

 

“Pada masa sama, inisiatif sama juga akan mengguna pakai peralatan tepat seperti dron, robotik dan sensor di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

 

“Di samping itu, kaedah pertanian pintar secara menegak dan tertutup akan diperluas dengan memanfaatkan tanah sedia ada dan bangunan terbiar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 

Katanya, pihaknya juga menggalakkan petani supaya menerima pakai amalan pertanian organik bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terhadap produk organik dan menjana pendapatan lebih tinggi.

 

Ronald berkata, dalam bidang perikanan tangkapan pula, koperasi dan persatuan digalakkan menceburi aktiviti perikanan laut dalam dan laut lepas dengan menggunakan kapal moden dan peralatan inovatif.

 

Menurutnya, ia penting bagi meningkatkan hasil dan daya saing serta menggalakkan industri perikanan yang mampan.

 

“Bagi bidang ternakan juga akan diberi fokus dengan matlamat meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan keselamatan makanan melalui malan penternakan baik dan moden,” katanya.

 

Katanya, kementerian juga memperkenalkan mekanisme pembiayaan struktur insentif baharu bagi menggalakkan pemodenan dalam sektor pertanian.

 

Justeru, katanya, dana pertanian pintar yang khusus akan diwujudkan bagi mempercepat penerimagunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

 

“Dana ini akan menyediakan peluang kepada petani, terutama agropreneur muda untuk memodenkan aktiviti pertanian di sepanjang rantaian nilai bagi memastikan sekuriti makanan.

 

“Inisiatif ini turut akan menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menghasilkan lebih banyak produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

 

“Ia juga akan menangani isu sekuriti makanan dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya