PUTRAJAYA : Kerajaan memperuntukkan RM4.5 juta bagi Projek Pembangunan Industri Tanaman Kopi dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, peruntukan tersebut bagi penyediaan infrastruktur dan fasiliti pengendalian lepas tuai, pembekalan input-input pertanian, perolehan bahan dan peralatan kawalan perosak dan pemindahan teknologi.
“Sehingga kini, kementerian mengenal pasti seramai 2,000 pemain industri penanaman kopi di seluruh negara.
“Inisiatif baharu akan dirangka bagi terus menggalakkan golongan muda dan usahawan tempatan menceburi industri tanaman kopi, termasuk di sepanjang rantaian nilai lain berkaitan dengan industri tersebut,” katanya dalam majlis perasmian Sambutan Hari Kopi Sempena Hari Kopi Antarabangsa 2021 di kementeriannya, hari ini.
Ronald berkata, pada tahun lalu, keluasan kawasan penanaman kopi di seluruh Malaysia adalah seluas 2,200 hektar melibatkan pengeluaran sebanyak 4,241 tan metrik berbanding 2,114 hektar pada tahun 2019 meliputi 3,559 tan matrik dengan negeri pengeluar utama adalah Johor dan Sabah.
“Industri tanaman kopi di Malaysia hari ini dilihat semakin berpotensi untuk diperkasa dan berkembang maju, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan dalam negara malah mampu dieksport ke luar negara.
“Selain meningkatkan pendapatan ekonomi bersama-sama produk dan peluang perniagaan dalam rantaian nilainya, pada masa sama dapat memperkenalkan kopi hasil keluaran negara kita ke seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian melalui Jabatan Pertanian Malaysia akan terus komited memberi perhatian agar industri ini terus diperkukuh dan tidak ketinggalan, serta dapat seiring dengan perkembangan industri tanaman agromakanan lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. -UTUSAN ONLINE