PONTIAN: Kebanyakan pengusaha inap desa di Tanjung Piai menarik nafas lega selepas kerajaan memberi kebenaran rentas negeri bermula semalam.
Tanjung Piai selama ini terkenal sebagai destinasi pelancongan setelah dua tahun sepi tanpa pengunjung.
Timbalan Pengerusi Persatuan Homestay Tanjung Piai, Pitah Taha, berkata, ahli-ahlinya amat berharap impak kebenaran merentas negeri itu dapat membantu mereka memulihkan semula industri inap desa di kawasan tersebut.
Katanya, terdapat kira-kira 30 orang pengusaha inap desa di Tanjung Piai yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sejak 20 tahun lalu.
“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan rentas daerah dan negeri, ramai pengusaha inap desa kehilangan sumber pendapatan sampingan.
“Diharapkan berpeluang untuk meraih sedikit limpahan ekonomi di Tanjung Piai apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan bersempena cuti pada hujung tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Petah, sebelum PKP dilaksanakan, mereka telah menganjurkan lawatan ‘home visit’ melibatkan pelajar-pelajar dari Jepun dan Singapura ke rumah-rumah penginapan tersebut.
“Lawatan seperti itu walaupun tidak bermalam namun memberikan nilai tambah kepada pemilik yang menyediakan makanan tengah hari serta aktiviti sampingan seperti kebudayaan, lawatan ke pusat pertanian dan sebagainya,” ujarnya.
Bagi seorang pengusaha inap desa, Ismail Esa, 79, turut mengharapkan kebenaran merentas negeri mampu mengembalikan zaman kegemilangan inap desa Tanjung Piai yang dibanjiri oleh pengunjung pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
Menurutnya, dia bersama pengusaha lain sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemudahan bagi keselesaan pengunjung seperti bilik penginapan, tandas, tempat letak kenderaan dan sebagainya.
“Kami mensasarkan supaya pelawat dapat menginap sekurang-kurangnya semalaman bagi membolehkan mereka mengikuti aktiviti yang disusun selain lawatan ke tempat-tempat menarik,” ujarnya.
Malah Ismail berkata, dengan siapnya pembinaan jalan akses pelancongan dari pekan Permas ke Taman Negara Tanjung Piai yang berharga RM68.5 juta pada tahun juga akan memberikan kemudahan kepada orang ramai.
Dia juga berharap akses pelancongan lain seperti taman negara itu turut menjadi daya tarikan pelancong bagi pengunjung yang datang ke inap desa Tanjung Piai. -UTUSAN ONLINE