Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dilancar - Utusan Malaysia

Rangka Tindakan Perdagangan Nasional dilancar

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (2021-2025) iaitu sebuah pelan lima tahun yang komprehensif untuk meningkatkan eksport negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rangka tindakan itu mengandungi lapan teras strategik dan 40 cadangan, menyatukan peluang untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.

Beliau berkata, ia bertujuan menangani perubahan struktur yang perlu bagi sektor eksport untuk berkembang maju melalui pengukuhan kemudahan perdagangan, logistik, pematuhan piawai, akses pasaran, kemampanan, pendigitalan dan teknologi, pelaburan dan penjenamaan. 

“Cadangan ini akan dilaksanakan lapan kumpulan kerja yang terdiri daripada pakar sektor awam dan swasta. Pelan ini mencerminkan cita-cita jelas kerajaan untuk mengembangkan lagi kedudukan dan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa. 

“Lebih penting lagi, rangka tindakan ini ditetapkan untuk melengkapi dasar-dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mencapai sasarannya dengan cadangan yang jelas, berfokus dan boleh dilaksanakan,” katanya ketika berucap melancarkan rangka tindakan itu secara maya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, rangka tindakan itu juga melengkapkan dasar dan pelan induk sedia ada ke arah matlamat utama rangka kerja eksport yang lebih baik sejajar dengan landskap perdagangan dan keperluan komuniti perniagaan semasa.

Beliau percaya pelaksanaan rangka tindakan itu yang melibatkan usaha kerjasama dan komitmen padu daripada pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta dalam ekosistem perniagaan, akan membuahkan kejayaan sekali gus meningkatkan daya saing perdagangan negara dan mengukuhkan kedudukan sebagai negara pengeksport terkemuka.

“Kita mesti memahami keperluan untuk menambah baik strategi perdagangan secara berterusan selaras dengan landskap yang sentiasa berubah. Produk dan perkhidmatan yang kita eksport sepatutnya berkembang apabila kita mempelbagaikan ekonomi dari semasa ke semasa. 

“Inilah yang mesti dicapai rangka tindakan ini. Ia bukan hanya untuk meningkatkan angka perdagangan setiap suku tahun, tetapi sesuatu yang lebih bermakna sebagai pemangkin untuk mengenal pasti sumber daya saing masa depan Malaysia, berdasarkan pemahaman yang tepat mengenai pasaran penawaran dan permintaan global dengan kerjasama seragam antara kerajaan dan sektor swasta,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya