Permohonan SBP tidak abaikan pelajar aliran lain - Utusan Malaysia

Permohonan SBP tidak abaikan pelajar aliran lain

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menjelaskan bahawa permohonan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak pernah mengabaikan pelajar dari sekolah aliran lain.

Dalam satu jawapan bertulis dalam sidang Dewan Negara yang dikeluarkan hari ini Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menyifatkan bahawa sistem Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang baru digunakan pada tahun ini jauh lebih menyeluruh dan memberi peluang sama rata kepada semua pelajar di negara ini.

Ini kerana sebelum tahun 2020, katanya, permohonan kemasukan ke SBP mengambil kira keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum peperiksaan itu dimansuhkan tahun lalu.

“PKSK merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke Sekolah Khusus dan pentaksiran ini merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

“Semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Kementerian Pendidikan dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) atau Sekolah Swasta adalah layak untuk memohon kemasukan ke SBP bermula tahun 2020 bagi sesi persekolahan tahun 2021,” katanya.

Tambahan pula, menurut Mohd. Radzi, syarat pemilihan murid ke SBP adalah melepasi syarat minimum PKSK dan aktif dalam aktiviti kokurikulum manakala penawaran kemasukan ke SBP pula adalah tertakluk kepada dasar pemilihan SBP, iaitu 60 peratus murid adalah dari keluarga B40.

“Justeru, pelaksanaan PKSK telah membuka peluang kepada semua murid yang layak dari semua jenis sekolah di Malaysia. Kementerian sentiasa memberi perhatian dan mendukung dasar-dasar pendidikan yang ditetapkan oleh Kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

“Kementerian juga sentiasa melaksanakan tanggungjawab seperti yang dihasratkan dengan merangka dasar pengambilan yang lebih komprehensif tanpa sebarang pengabaian kepada mana-mana pihak mahupun golongan masyarakat di negara ini,” katanya.

Mohd. Radzi menjawab soalan Datuk T. Mohan mengenai justifikasi pelajar daripada sekolah kebangsaan sahaja dibenarkan untuk memohon ke SBP peringkat Tingkatan Satu namun mengapa pelajar cemerlang dari aliran selain sekolah kebangsaan tidak dibenarkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya