SHAH ALAM: Pemilik pusat rekreasi dan hotel serta ahli jawatan kuasa masjid atau surau boleh mendapatkan pengesahan kedudukan arah kiblat di premis masing-masing daripada Jabatan Mufti Selangor.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Mufti Selangor dalam satu kenyataan hari ini yang memberitahu permohonan bagi tujuan itu boleh dilakukan dalam memastikan ibadah solat dilakukan mengikut kaedah dan rukun yang sempurna.
Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://www.muftiselangor.gov.my/permohonan-arah-qiblat-falak.
“Insya-Allah, kami akan turun ke lokasi permohonan dalam tempoh 12 hari daripada permohonan dibuat,” katanya.
Katanya lagi, kemudahan itu sudah pun dilaksanakan sejak 27 September lalu melalui pasukan yang terlibat melaksanakan tugasan mengesahkan arah kiblat, Team Kiblat Jabatan Mufti Selangor. -UTUSAN ONLINE