Permohonan kemasukan sekolah khusus dibuka mulai Ahad ini - Utusan Malaysia

Permohonan kemasukan sekolah khusus dibuka mulai Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permohonan kemasukan ke sekolah-sekolah khusus untuk ke tingkatan satu dan tingkatan empat bagi tahun 2022 dibuka mulai 10 Oktober hingga 15 November ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, permohonan itu boleh diakses melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my (bagi tingkatan 1), manakala https://spskt4.moe.gov.my (bagi tingkatan 4).

Katanya, permohonan itu melibatkan sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) bagi kedua-dua tingkatan satu dan empat, manakala permohonan sekolah menengah teknik (SMT) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) adalah bagi tingkatan empat selain kolej vokasional (KV) bagi tahun satu.

“Semua pemohon boleh membuat semakan pusat pentaksiran bagi tingkatan satu dan tingkatan empat secara dalam talian bermula dari 1 Disember ini.

“Pentaksiran akan bermula dari 17 hingga 27 Januari 2022 bagi tingkatan satu dan 7 hingga 17 Februari 2022 bagi tingkatan empat,” katanya hari ini.

KPM berkata, Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) diperkenalkan bagi tujuan pemilihan murid untuk kemasukan ke tingkatan satu dan tingkatan empat sekolah berkenaan melibatkan sekolah-sekolah SBP, SMKA, SMT, KV dan MTD mulai tahun ini.

Jelasnya, komponen yang ditaksir ialah kecerdasan insaniah (20 peratus), kecerdasan intelektual (70 peratus) dan artikulasi penulisan (10 peratus).

KPM turut memberitahu, syarat permohonan kemasukan ke sekolah khusus itu seperti warganegara Malaysia; berdaftar dalam Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM dan murid tahun enam tahun 2021.

“Pemohon mestilah berumur 12 tahun atau lahir pada 2 Januari 2009 hingga 1 Januari 2010; dan murid tingkatan tiga tahun 2021 berumur 15 tahun atau lahir pada 2 Januari 2006 hingga 1 Januari 2007.

“Keputusan pemilihan murid akan diumumkan pada 15 Mac 2022,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya