Penunggang p-hailing kerap langgar lampu isyarat merah  - Utusan Malaysia

Penunggang p-hailing kerap langgar lampu isyarat merah 

AZRIN Borhan (kiri) memberi advokasi kepada penunggang motosikal p-hailing bagi memberi kesedaran tentang peraturan lalu-lintas dekat Nilai di sini semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Melanggar lampu isyarat merah merupakan kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh penunggang motosikal (rider) perkhidmatan p-hailing sepanjang operasi khas ‘Op Merah’ yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan. 

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, sebanyak 38 kes kesalahan gagal mematuhi lampu isyarat merah dikesan sepanjang operasi tersebut yang bermula 8 Oktober hingga 12 Oktober lalu. 

“Berdasarkan risikan dan aduan, kebanyakan penunggang motosikal p-hailing ini melanggar lampu isyarat merah dengan alasan mahu mengejar ‘trip’ (tempahan pelanggan). 

“Malah, ada juga yang lupa apabila lampu isyarat kuning perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk berhenti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau sebelum itu membuat advokasi berkaitan ‘Op Merah’ bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal p-hailing dekat sebuah pusat membeli belah di Nilai.

Jelas Azrin, sepanjang Op Merah yang dijalankan sebanyak 560 buah kenderaan telah diperiksa dengan pelbagai kesalahan lain termasuk kesalahan perlesenan pemandu sebanyak 17 kes, kesalahan teknikal (10) dan kesalahan perlesenan kenderaan (8). 

“Kesalahan yang menjadi tumpuan penunggang motosikal p-hailing selain melanggar lampu isyarat merah ialah tidak mematuhi isyarat jalan sehala dan kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun pihak JPJ Negeri Sembilan melaksanakan advokasi secara berterusan, namun, tidak dinafikan, ada juga segelintir penunggang motosikal p-hailing yang kurang peka dengan peraturan lalu-lintas. 

“Sepanjang Januari hingga September 2021, sebanyak 33 program advokasi telah dijalankan di mana pihak JPJ akan turun padang ke lokasi utama penunggang motosikal p-hailing di Seremban dan Nilai secara bersemuka bagi memberi kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya. 

“Tindakan penguatkuasaan merupakan langkah terakhir yang akan diambil bagi mendisiplinkan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya