PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengangkat 20 pereka muda bagi menyemarakkan industri fesyen tanah air dalam Majlis MARA In Fashion Ready To Wear (MIF RTW) yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara sebentar tadi.
Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, beliau mengharapkan agar platform itu menjadi titik punca jenama negara berkembang ke peringkat seterusnya.
“Saya berharap pentas ini akan menjadi satu permulaan untuk semua bakat ini memperkenalkan jenama serta produknya supaya akan lebih terkenal.
“Ini boleh menjadikan produk itu kelak mudah untuk menembus pasaran antarabangsa serta membina rangkaian yang akan membantu setiap bakat muda ini,” jelasnya ketika berucap di majlis itu.
MIF RTW kali ini telah memilih tema ‘Identiti’ bagi memberi ruang dan peluang kepada pereka muda untuk menunjukkan ‘signature style’ rekaan pakaian masing-masing dalam usaha untuk menempatkan jenama mereka dikenali di pasaran dan bersaing dengan jenama lain dalam industri fesyen dalam dan luar negara.
20 bakat muda telah digilap melalui empat fasa latihan keusahawanan yang merangkumi aspek dalam perniagaan industri fesyen dan bimbingan secara telus oleh pakar dalam bidang berkaitan seperti Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk, Faizal Hamid dan pereka terkemuka negara, Fiziwoo.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemenang kategori Pereka Muda Terbaik, Farra Fahsya Reena berkata, beliau bersyukur kerana terpilih dan diangkat oleh juri-juri terkemuka.
“Saya tidak sangka dan sangat bersyukur kerana diberi peluang di pentas ini. Saya sememangnya amat meminati jurusan reka bentuk,” katanya.
Dalam pada itu, pemenang kategori Koleksi Terbaik, Shahir Hamdan berkata, beliau tidak pernah merasakan dirinya dalam satu pertandingan kerana kesemua 20 bakat muda itu telah bekerjasama bagi menjayakan program itu.
“Kami tidak bersikap kompetitif dengan satu sama lain. Kami saling membantu.
“Kemenangan ini sudah tentu sangat bermakna buat saya namun lebih saya hargai adalah pengalaman kami semua yang mempunyai hubungan yang akrab,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE