Penduduk bantah cari gali di bekas lombong - Utusan Malaysia

Penduduk bantah cari gali di bekas lombong

PENDUDUK, nelayan darat dan Orang Asli menunjukkan kain rentang menggesa agar aktiviti perlombongan dihentikan di kawasan mereka di Kampung Air Kuning, Kampung Gajah dekat Pasir Salak. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Seramai 120 peneroka tanah bekas lombong bijih timah sekitar Kampung Air Kuning, Kampung Gajah dekat ini kesal dengan tindakan kerajaan negeri membenarkan pihak lain menerokai kawasan itu untuk aktiviti cari gali.

Seorang penduduk Kampung Tersusun Air Kuning, Shuhaini Abdul Shukor, 44, berkata, selepas aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan dihentikan pada 1996, ia diterokai penduduk kampung untuk aktiviti pertanian serta ternakan.

Menurutnya, bekas lombong itu turut menjadi punca rezeki buat nelayan darat serta Orang Asli Kampung Chenderong Kelubi.

Katanya, sebelum ini, kawasan itu merupakan Kampung Changkat Pinggan sebelum datuk dan nenek mereka dipindahkan ke Kampung Tersusun Air Kuning untuk memberi laluan kepada aktiviti perlombongan.

“Selepas aktiviti perlombongan dihentikan pada 1996, kami merupakan generasi kedua meneroka ini dan pernah meminta kebenaran daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah.

“Namun permohonan kami beberapa kali ditolak dengan alasan kawasan itu rizab pulau burung tetapi kenapa sekarang pihak lain dibenarkan menerokainya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut berkata, dia bersama peneroka lain berasa amat kecewa dengan perkara itu sedangkan mereka merupakan penduduk asal di situ.

Menurutnya, penduduk berharap pihak berkenaan membantu mereka yang merupakan penduduk asal di situ.

“Sejak pihak lain dibenarkan meneroka kawasan ini pendapatan kami terjejas, ada penduduk tidak dapat berkebun kerana jalan ditutup kerana kerja menggali parit selain hasil tangkapan nelayan darat berkurangan,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar Kampung Gajah, Sairul Nizam Mohamad Saleh berkata, aktiviti perlombongan oleh empat buah syarikat yang mendapat lesen menerokai kawasan itu dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan lebih 80 nelayan darat.

Katanya, nelayan darat serta Orang Asli yang merupakan nelayan di bawah My Komuniti Perikanan (MyKP) Sungai Galah, Air Kuning dan Chenderong Kelubi mengadu pendapatan mereka berkurangan sejak kawasan seluas 566 hektar itu diteroka dua bulan lalu.

Katanya, pendapatan nelayan berkurangan, jika sebelum ini boleh dapat RM100 sehari tetapi sekarang sekitar RM30 hingga RM60 saja.

“Kami bimbang jika aktiviti diteruskan ia akan terus menjejaskan pendapatan nelayan darat.

“Justeru kita sudah buat bantahan secara lisan mengenai perkara ini kepada pihak berkenaan dan berharap mereka dapat melihat semula supaya ekosistem serta sumber nelayan darat tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah berjumpa dengan penduduk dan Persatuan Nelayan Ikan Air Tawar Kampung Gajah berkenaan isu itu.

Katanya, pihaknya menerima makluman bahawa penduduk dan nelayan darat tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan masuk mengambil hasil oleh pihak syarikat yang dilantik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

“Difahamkan MB Inc. telah meluluskan kuasa cari gali kepada empat syarikat di kawasan seluas 566 hektar dan saya berharap pihak MB Inc. dan syarikat-syarikat tersebut dapat mencari penyelesaian terbaik bagi kepentingan bersama.

“Selepas ini akan diadakan pertemuan bersama pihak pejabat tanah dan MB Inc. bagi menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya