PONTIAN: Cadangan pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kampung Air Puteh, Pekan Nanas, di sini dibantah penduduk tempatan.
Kira-kira 50 penduduk hari ini mengadakan bantahan secara aman di tapak pembinaan tersebut yang sebelum ini merupakan tapak pelupusan sampah selama 10 tahun sebelum ditutup dua tahun lalu.
Ketua Pemuda Bahagian MCA Tanjung Piai, Heng Zhi Li berkata, bantahan itu dibuat kerana penduduk tidak mahu berhadapan dengan masalah bau dan kesihatan disebabkan kedudukannya terletak dalam lingkungan tiga kilometer daripada kawasan penduduk.
Katanya, mereka yang tinggal di Pekan Nanas merasai kebimbangan penduduk terhadap cadangan pembinaan stesen tersebut kerana terlalu dekat dengan kawasan taman perumahan dan kampung-kampung.
Menurutnya, antara kawasan perumahan yang berhampiran ialah Taman Damai, Taman Teratai, Taman Sentosa serta Kampung Air Putih,Kampung Sawah, Kampung Parit Pasir dan sekitarnya.
“Disebabkan itu, penduduk berharap KPKT mengkaji semula cadangan itu dan mencari lokasi yang sesuai serta jauh dari kawasan penempatan penduduk,” katanya ketika mengetuai bantahan di tapak pelupusan sampah di Kampung Air Putih di sini, hari ini.
Tambah Zhi Li, melalui kajian impak alam sekitar (EIA) yang dijalankan sebelum ini, beliau difahamkan stesen tersebut akan beroperasi selama 20 tahun yang tentunya memberi kesan jangka panjang kepada penduduk.
“Saya difahamkan sisa pepejal akan dikumpul di sini sebelum di hantar ke tapak pelupusan di Seelong, Kulai. Persoalannya, mengapa perlu ada stesen pemindahan kerana sisa pepejal yang dikutip akan tetap dihantar ke tapak pelupusan,” ujarnya.
Katanya, sejak 10 tahun lepas, penduduk memperjuangkan isu tapak pelupusan di situ dan belumpun mereka merasa lega dengan keadaan tersebut, timbul pula cadangan daripada kerajaan mengenai stesen berkenaan.
Oleh yang demikian, Zhi Li berharap kerajaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan perhatian mengenai isu itu dan menangguhkan pelaksanaan sehingga tapak baharu yang lebih sesuai dikenal pasti. -UTUSAN ONLINE