GEORGETOWN: Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir) menyarankan kerajaan negeri meneliti semula perancangan terdahulu untuk meneruskan projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan negeri ini (PSR).
Pengerusinya, Datuk Dr. Muhamad Farid Saad berkata, Pemikir memahami kenapa para nelayan yang mencari pendapatan secara sepenuh masa merasakan masa depan mereka dan masa depan generasi akan datang boleh terjejas disebabkan kesan jangka panjang tambakan laut.
“Jika 10 tahun diambil untuk kerja penambakan laut bermakna mereka terpaksa menanggung kesan jangka panjang yang jauh lebih panjang dari 10 tahun.
“Pampasan RM20,000 untuk sebuah sampan yang mungkin tinggi di mata kerajaan adalah jauh lebih rendah daripada kerugian yang terpaksa mereka alami.
“Bolehkah mereka membeli sebuah sampan tidak lebih sembilan meter panjang, sebuah enjin tidak lebih 150 kuasa kuda, sebuah takal penarik pukat yang berharga sekitar RM80,000 dengan harga RM20,000 yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengakibatkan pembatalan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR.
Sebelum ini, projek PSR yang dirancang kerajaan negeri itu berdepan cabaran selepas Lembaga Rayuan JAS memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tersebut.
Menurut Muhamad Farid, jika pulau-pulau itu dibina para nelayan perlu keluar jauh dari pantai untuk mencari ikan atau udang.
“Pengiraan serta perbandingan mudah, kalau sekarang dengan hanya RM5 minyak petrol mereka boleh keluar untuk mendapatkan udang yang boleh dijual dengan RM100.
“Jika selepas siap tiga pulau, jika mereka berbelanja RM100 untuk membeli petrol sekalipun, mereka belum tentu mendapat RM5 hasil jualan,” katanya.
Tambahnya, sering dinyatakan kawasan yang ingin ditambak itu tidak mempunyai banyak hasil laut terutama udang, namun, itu adalah cerita yang diada-adakan untuk menguatkan hujah menyokong projek berkenaan.
“Tanpa data yang tepat, sudah pasti tiada bukti yang dapat mengukuhkan bantahan kerana adalah mustahil untuk nelayan mengumpulkan data-data melainkan oleh agensi yang bertanggungjawab menjaga khazanah laut dan kebajikan nelayan,” katanya. -UTUSAN ONLINE