Nelayan jual bot tak mampu tanggung kos operasi - Utusan Malaysia

Nelayan jual bot tak mampu tanggung kos operasi

LIEW SEAK THONG menunjukkan deretan bot C2 yang tidak beroperasi di pelantar ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Perlis, semalam. - UTUSAN/ SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kehidupan pengusaha bot kelas C dan C2 di Kuala Perlis di sini terjejas teruk selepas berhadapan masalah kekurangan pekerja dan kenaikan harga diesel.

Malah, ramai dalam kalangan mereka terpaksa menjual bot apabila tidak mampu menanggung kos operasi yang tinggi di samping tidak menangkap ikan sejak hampir dua tahun lalu.

Rata-rata pengusaha tidak dapat turun ke laut kerana tidak mempunyai pekerja yang terdiri dalam kalangan warga Thailand selepas penutupan pintu sempadan sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Peniaga Ikan dan Pengusaha Bot Kuala Perlis, Liew Seak Thong berkata, hampir 50 peratus daripada keseluruhan 100 pengusaha di sini terkesan teruk ekoran masalah ketiadaan pekerja dan kenaikan harga diesel yang menjejaskan pengusaha bot kelas C2.

Katanya, kebanyakan pekerja atau awak-awak adalah dari Thailand dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat menyukarkan mereka mendapatkan tenaga kerja dari negara jiran tersebut.

“Sejak pandemik, kebanyakan pengusaha bot di Kuala Perlis sudah tidak turun ke laut malah ada yang terpaksa menjual bot kerana sudah tidak mampu lagi menanggung kos operasi yang tinggi selain kekurangan tenaga kerja,” ujarnya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 450 pengusaha bot kelas C2 di seluruh negara semakin ‘tenat’ sehingga ramai terpaksa menghentikan operasi kerana tidak mampu menanggung kenaikan harga diesel sehingga RM50,000 sebulan bagi sebuah bot sebelum keluar menangkap ikan.

Harga diesel yang dijual kepada pengusaha bot kelas C2 kini meningkat daripada RM2.05 seliter kepada RM2.70 seliter

Tambah Seak Thong, kenaikan kos bahan bakar menjadi antara faktor ramai nelayan dari kelas tersebut terpaksa menghentikan operasi mereka.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga diesel turut menambah beban pengusaha bot nelayan C2.

“Jika keadaan terus berlarutan tanpa mendapat bantuan seperti subsidi bahan bakar daripada pihak kerajaan, tidak mustahil lebih ramai lagi nelayan tidak mampu bertahan dan menjual bot-bot kecil yang lain kerana sudah tidak mampu menampung kos,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha, Iskandar Abdul Hamid, 63, mengakui bahawa kos pengambilan awak-awak dari Thailand turut mengalami peningkatan mendadak susulan SOP ketat.

“Kos pengambilan seorang awak-awak dari Thailand menelan belanja sehingga RM15,000 seorang kerana mereka terpaksa melalui jalan udara berbanding jalan darat sebelum ini. Sebuah bot C2 memerlukan sehingga 28 pekerja, tidak termasuk kru bot api.

“Sekarang ini, kita kekurangan anak tempatan yang sanggup turun ke laut dalam dan kami bergantung dengan tenaga kerja luar. Jadi saya mohon Jabatan Imigresen beri kami kelonggaran mendapatkan pekerja asing untuk sektor perikanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya