Nangka madu diperkenal di Jepun menerusi Malaysia Fair 2021 - Utusan Malaysia

Nangka madu diperkenal di Jepun menerusi Malaysia Fair 2021

Don Quijote merupakan rangkaian pasar raya di Jepun yang terkenal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Pejabat Penasihat Pertanian (PPP) Tokyo memperluas pelaksanaan program Malaysia Fair 2021 yang bermula di Mega Don Quijote Shibuya, Tokyo ke Mega Don Quijote Shin Sekai, Osaka.

Kementerian berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, program yang bermula hari ini hingga 31 Disember itu diadakan di Don Quijote iaitu rangkaian pasar raya diskaun terbesar dan paling popular di negara matahari terbit itu serta sinonim dalam kalangan pelancong asing.

Menurutnya, program tersebut dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan pada 15 September lalu bertujuan memperkukuh jenama Malaysia serta mempromosi dan mengkomersialkan 75 unit simpanan stok (SKU) produk makanan Malaysia.

“Sebanyak 15 SKU produk usahawan bimbingan kementerian dikomersialkan terutama di bawah jenama My Kitchen setelah melalui proses saringan, percubaan eksport dan promosi.

 “Turut dipromosikan adalah produk makanan daripada jenama sedia ada di Jepun seperti Adabi, Ayam Brand, Life, BOH dan Brahim’s yang telah mempunyai penggemar tetap serta sebagai tarikan orang ramai bagi mempromosi produk-produk baharu,” katanya di sini hari ini.

 Selain itu, julung kalinya nangka madu (J33) sejuk beku dikomersialkan di Jepun dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan ia merupakan salah satu produk buah-buahan diberi penekanan oleh PPP Tokyo untuk dipromosikan di Jepun selain durian Musang King.

Katanya, ia mula aktif dipromosikan semasa program Malaysia Fair 2019 serta mempunyai prospek sangat baik di pasaran Jepun berdasarkan respon diberikan warga tempatan yang rata-rata menggemari kemanisan dan keunikan tekstur rangup komoditi tersebut.

Dalam pada itu, selain pelaksanaan promosi di dua cawangan Don Quijote yang telah dirancang, program Malaysia Fair 2021 turut diperluas ke cawangan Don Quijote Yaesu, Tokyo Station atas jemputan berdasarkan sambutan dan maklum balas yang sangat memberangsangkan.

“Sebagai salah satu stesen kereta api paling sibuk di dunia dengan 450,000 trafik penumpang sehari, pelaksanaan program Malaysia Fair di Don Quijote Yaesu, Tokyo Station secara tidak langsung memberi impak besar dalam memperkasa dan mewujudkan kepercayaan terhadap jenama Malaysia.

“Seterusnya, ia memberi kesan limpah bukan sahaja kepada industri makanan, malah, kepada industri berkaitan seperti pelancongan, perdagangan dan pelaburan negara,” jelasnya.

Mengulas lanjut, sejak dimulakan pada 8 September, program Malaysia Fair 2021 mencatatkan nilai jualan berjumlah JPY2,000,000 (RM73,000) daripada sasaran jualan keseluruhan JPY5,000,000 sehingga hujung tahun ini.

“Konsep program ini juga mendapat perhatian dari cawangan Don Quijote lain di Jepun dan dirancang akan diperluas ke cawangan Sapporo, Sendai, Tokyo, Nagoya, Osaka dan Fukuoka pada tahun 2022.

“Menurut Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan Kementerian, Khalid Ibrahim, perluasan program ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada lebih banyak usahawan kecil dan sederhana negara untuk mengkomersialkan produk makanan masing-masing terutama melalui jenama My Kitchen,” katanya.

Don Quijote merupakan rangkaian terbesar di bawah Pan Pasific International Holdings dengan 585 cawangan di seluruh Jepun serta 85 cawangan di luar Jepun termasuk di Lot10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan jualan kasar keseluruhan berjumlah JPY1.682 trillion.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya