PETALING JAYA: Malaysia dijangka beralih kepada status negara tua lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penduduk negara pada 2020 dianggarkan 32.6 juta orang yang mana disumbangkan oleh pertambahan semula jadi iaitu perbezaan antara bilangan kelahiran dan kematian yang berlaku setiap tahun
“Berdasarkan Kadar Kelahiran Kasar (CBR) dan Kadar Kematian Kasar (CDR) negara ini, secara purata 14.4 orang dilahirkan dan 5.1 orang yang mati bagi setiap seribu penduduk pada 2020 dengan nisbah 2.8 kelahiran bagi setiap satu kematian.
“Jika dilihat pada sepuluh tahun yang lepas, bagi setiap seribu orang penduduk, secara purata 17.2 orang dilahirkan dan 4.6 orang yang mati dengan nisbah yang dicatatkan 3.7 kelahiran bagi setiap satu kematian.
“Penurunan nisbah ini memberi impak kepada struktur penduduk Malaysia. Ini akan menyebabkan Malaysia akan beralih kepada status negara menua lebih awal berbanding unjuran yang dibuat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Uzir, kadar Kesuburan Jumlah (TFR) bagi wanita umur reproduktif mencatatkan penurunan dengan 1.7 anak pada 2020 yang berbanding 1.8 anak pada 2019, malah kadar kesuburan negara juga berada di bawah paras penggantian 2.1 anak mulai tahun 2013.
“Merujuk kepada manual Principles and Recommendations For A Vital Statistics (Revision 3), United Nations Statistics Division (2014), paras penggantian 2.1 bermaksud purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang wanita dengan menanggung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak tersebut melahirkan anak.
“Jika paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk,” katanya.
Berdasarkan laporan itu, bagi tempoh 2010 hingga 2020, TFR bagi semua kumpulan etnik utama di seluruh negara menunjukkan trend penurunan dengan TFR bagi Bumiputera mencatatkan penurunan daripada 2.6 anak kepada 2.2 anak, etnik Cina (1.5 anak kepada 1.0 anak) dan etnik India (1.7 anak kepada 1.2 anak), malah TFR bagi etnik Cina dan India mencatatkan TFR di bawah paras penggantian masing-masing bermula 2003 dan 2005.
Pada peringkat negeri, semua negeri mencatatkan TFR di bawah paras penggantian kecuali tiga negeri iaitu Terengganu (2.9 anak), Putrajaya (2.8 anak) dan Kelantan (2.7 anak).
Trend penurunan kadar kesuburan di negara ini juga adalah selari dengan negara maju yang lain seperti Australia, United Kingdom dan New Zealand, malah trend yang sama juga diperhatikan di negara ASEAN.
Tambah beliau, data awalan kelahiran hidup bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini merekodkan sebanyak 240,590 kelahiran manakala 470,195 pada 2020 iaitu menurun 3.6 peratus berbanding 487,957 pada 2019.
“Bilangan kelahiran hidup pada 2020 ini dicatatkan sebagai bilangan kelahiran terendah dalam satu dekad. Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 243,617 dan 226,578.
“Penurunan bilangan kelahiran ini mengakibatkan CBR menurun daripada 15.0 kelahiran pada 2019 kepada 14.4 bagi setiap seribu penduduk pada 2020,” katanya.
Ujarnya, wanita memainkan peranan yang penting dalam menentukan bilangan dan kadar kelahiran dalam sesebuah negara.
Katanya, trend penurunan kelahiran ini disumbangkan oleh peningkatan taraf pendidikan wanita dan peningkatan penglibatan wanita dalam tenaga buruh.
“Selain itu, faktor seperti peningkatan purata umur perkahwinan pertama, kesan evolusi pembandaran, perubahan gaya hidup, status ekonomi dan peningkatan penggunaan kaedah perancang keluarga juga turut menyumbang kepada trend penurunan kelahiran pada masa ini.
“Bilangan ibu pada kelahiran hidup pertama adalah sebanyak 139,501 (2020) ibu, menurun sebanyak 12.7 peratus berbanding tahun 2019 (159,710 ibu), manakala purata umur ibu pada kelahiran hidup pertama meningkat 0.1 tahun daripada 27.9 tahun (2019) kepada 28.0 tahun pada 2020.
“Secara amnya, peningkatan purata umur ibu pada kelahiran pertama memberi indikasi terhadap tempoh reproduktif wanita yang semakin singkat,” katanya.
Selain itu, katanya, semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kelahiran hidup pada 2020 berbanding 2019 kecuali Terengganu, Perlis dan Labuan, manakala semua negeri turut merekodkan penurunan CBR kecuali Labuan serta Perlis.
“Terengganu mencatatkan kadar tertinggi dengan 21.6 kelahiran bagi setiap seribu penduduk, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar terendah dengan 11.1 kelahiran.
“Ini sejajar dengan bilangan penduduk etnik Cina yang ramai di Pulau Pinang iaitu sebanyak 42.3 peratus daripada jumlah penduduk warganegara di Pulau Pinang,” katanya.
Bagi data kematian, beliau berkata, data awalan kematian bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini direkodkan sebanyak 132,812 kematian.
Katanya, jumlah kematian yang direkodkan di Malaysia pada 2020 adalah sebanyak 166,507 iaitu menurun sebanyak 4.2 peratus berbanding 173,746 kematian pada 2019.
“Kematian lelaki melebihi perempuan iaitu masing-masing 96,322 dan 70,185 kematian. CDR terus menurun daripada 5.3 pada 2019 kepada 5.1 kematian bagi setiap seribu penduduk pada 2020,” katanya.
Katanya lagi, semua negeri mencatatkan penurunan bilangan kematian pada 2020 berbanding 2019 kecuali Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya yang mencatatkan peningkatan.
“Perlis mencatatkan kadar tertinggi dengan 7.7 kematian bagi setiap seribu penduduk dan Putrajaya mencatatkan kadar terendah dengan 1.9 kematian,” katanya.
Mohd. Uzir menambah, CDR bagi etnik India menunjukkan penurunan ketara berbanding etnik lain bagi tempoh 2019 dan 2020 iaitu daripada 7.3 kepada 6.6 kematian bagi setiap seribu penduduk.
“Situasi ini adalah selari dengan jangka hayat etnik India yang menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi pada 2020 iaitu 0.6 tahun (2019: 72.1 tahun) berbanding Bumiputera (0.4 tahun) dan Cina (0.3 tahun),” katanya. -UTUSAN ONLINE