IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan majlis akad nikah diadakan mulai hari ini selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi negeri ini.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, majlis itu bagaimanapun diadakan dengan beberapa prosedur kerja ditetapkan berikutan negara dan negeri ini masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19.
“Prosedur itu ialah majlis boleh diadakan di tiga tempat iaitu premis swasta meliputi hotel, inap desa dan dewan serbaguna, pejabat agama Islam di seluruh negeri serta Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Perak,” katanya dalam satu surat pekeliling yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yusop, jumlah kehadiran pula tidak melebihi 50 peratus kapasiti keluasan premis yang digunakan itu manakala tempoh masa majlis tidak boleh melebihi satu jam 30 minit.
Pada masa sama, jelasnya, majlis jamuan tidak dibenarkan, sebaliknya, makanan hanya disediakan dalam bentuk bungkusan.
Ujarnya, mereka yang hadir majlis itu perlu mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pelaksanaan norma baharu.
Beliau memberitahu, ia melibatkan perkara seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis, penjarakan sosial, memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung serta kerap membasuh tangan.
“Selain itu, mereka yang datang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), Orang Dalam Pemerhatian (PUS), mereka yang dalam perintah kuarantin serta individu bergejala, tidak dibenarkan hadir atau datang ke majlis tersebut. – UTUSAN ONLINE