PORT DICKSON: Sebagai langkah awal dan persediaan sekiranya berlaku kecemasan kepada pengunjung di pantai, Balai Bomba Telok Kemang dekat sini mengambil inisiatif menyediakan peralatan keselamatan ataupun Life Saving Appliances (LiSA).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, inisiatif itu merupakan kaedah awal bagi tujuan menyelamat di pantai dan pihaknya turut mengambil langkah mendedahkan penggunaannya kepada orang ramai.
“Hari ini merupakan program pertama pendedahan LiSA kepada orang awam dan pengunjung di pantai yang menjadi tumpuan di daerah ini. Komponen peralatan keselamatan yang dipasang pada bulan lalu itu bertujuan bagi memastikan keselamatan pengunjung di pantai.
“LiSA yang dipasang di empat lokasi di daerah ini mempunyai peti siren, pelampung, jaket keselamatan, throwbag rope dan peti pertolongan cemas yang boleh digunakan ketika kecemasan. Kami tempatkan di beberapa lokasi tumpuan dan berharap orang ramai dapat menggunakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kempen keselamatan di air di Dataran Telok Kemang, di sini hari ini
Menurut Mohd. Kamal, empat lokasi yang menempatkan LiSA itu adalah di Dataran Telok Kemang sebanyak dua unit, Pantai Tanjung Gemok dan Pantai Pejabat Daerah dan Tanah, Port Dickson.
“Seperti yang sedia maklum, terdapat empat kes kecemasan yang berlaku di pantai peranginan di daerah ini baru-baru ini, saya harap orang ramai dapat lebih peka dan memberi pertolongan lebih awal sehingga pihak bomba atau agensi penyelamat tiba di lokasi kejadian.
“Penggunaan LiSA ini amat mudah dan sekiranya ada kes kecemasan mereka (orang awam) hanya perlu memecahkan kaca untuk mendapatkan kunci membuka peti ini. Selepas pintu ini dibuka siren akan berbunyi dan kami akan mendapat respon tersebut,” jelasnya lagi.
Pihaknya juga menyasarkan sebanyak 10 buah lagi LiSA akan dipasang di pantai peranginan di daerah ini kelak. -UTUSAN ONLINE