KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB) akan mengadakan mesyuarat esok bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku di Kampung Melayu Bukit Tarek.
Memaklumkan perkara itu, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau telah mendapat gambaran jelas mengenai masalah penduduk di situ yang tiada kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya 30 tahun lamanya.
Butiran itu jelasnya akan dibawa dibawa dalam mesyuarat bagi membincangkan masalah tersebut.
“Saya dimaklumkan bahawa 90 buah rumah penduduk di kampung ini mempunyai geran tanah yang sah dan diduduki sejak 2004.
“Saya juga telah merujuk perkara tersebut dengan pegawai tinggi KPLB dan insya-Allah pada hari Isnin ini, satu mesyuarat akan diadakan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh penduduk itu,” katanya menerusi laman sosial Instagram.
Biarpun negara sudah 64 tahun merdeka, penduduk Kampung Melayu Bukit Tarek di Mukim Ulu Yam, Hulu Selangor masih belum menikmati kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya hampir 30 tahun lamanya.
Walaupun kedudukannya berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), seramai 300 penduduknya masih melalui kehidupan menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar untuk bekalan elektrik sementara air hujan pula untuk kegunaan harian.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, pemilik lot kebanyakannya adalah bekas kakitangan kerajaan seperti anggota polis, tentera, pesara, dan pegawai kerajaan.
Walaupun bersempadan dengan kawasan pembangunan di Bukit Beruntung, Bestari Jaya dan Bukit Tagar, serta berhampiran Sungai Selangor, namun disebabkan ketiadaan kemudahan asas, ramai penduduk meninggalkan kawasan berkenaan.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa bertindak Kampung Melayu Bukit Tarek, Shamsiah Mohamad berkata, setakat ini Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), pihak Mineral dan Geosains Malaysia (Geologi), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pejabat Tanah antara pihak yang telah turun padang untuk meninjau sendiri ke kawasan berkenaan
“Saya sendiri membawa Jabatan Geologi mencari titik tinggi dan titik rendah di Bukit Tarek, penduduk Bukit Tarek juga ada maklum kepada saya tentang kehadiran JUPEM ke kawasan ini.
“Alhamdulillah semua memberi respon yang positif setakat ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, isu ini mendapat perhatian Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dimana menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah itu. -UTUSAN ONLINE