PUTRAJAYA: Kolej Yayasan Saad dari Ayer Keroh, Melaka muncul juara pusingan akhir Cabaran Sains Negara (NSC) 2021 Piala Perdana Menteri yang diadakan secara maya hari ini.
Pasukan itu berjaya meraih hadiah wang tunai bernilai RM6,000 bagi setiap peserta, komputer riba yang juga untuk setiap seorang, sijil penghargaan dan trofi piala pusingan berkenaan.
Mereka bertiga yang dianggotai Aariz Salimie Ilhan Salimee, Athena Siow dan Gaurakishor Puvanasvaran itu juga berpeluang mengikuti bengkel TheGreatLab Grand Design Challenge.
Program elit itu dianjurkan Pusat Penyelidikan Kolaboratif Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (Crest) berpangkalan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang dilancarkan pada 2012.
Ini kali ketiga ia memenangi NSC selepas julung kali pada 2013 dan kemudian 2017, malah ia menewaskan juara bertahan, SMJK Jit Sin, Pulau Pinang yang hanya sekadar tempat ketiga.
Naib juara pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sam Tet, dari Perak manakala keempat diraih Sekolah Menengah Sri KDU, Selangor dan kelima pula MRSM Kota Putra, Terengganu.
Program tahunan nasional sejak 1983 yang dianjurkan Akademi Sains Malaysia (ASM) itu dirasmikan penutupannya oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Pertandingan kuiz berprestij itu menyaksikan pada tahun ini sebanyak 706 pasukan sekolah dari seluruh negara menyertainya dari peringkat saringan negeri yang bermula pada 16 Julai lalu.
Beliau menerusi ucapannya berharap akan dapat melibatkan lebih banyak penyertaan kepada sekurang-kurangnya 1,000 pasukan sekolah pada NSC 2022 dan edisi yang seterusnya kelak.
Dalam pada itu Presiden ASM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dalam ucapannya berkata, program tersebut membolehkan ramai bakat muda negara dibentuk untuk menjadi lebih berdaya saing.
Setiap pasukan juga menerima pengalaman yang dapat memberi inspirasi pelajar lain menyambung pengajian serta kerjaya bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Para pemenang ujarnya, turut berpotensi mewakili Malaysia dalam aneka pertandingan di luar negara kerana NSC menjadi wadah efektif membuka minda pelajar lebih kreatif dan inovatif.
ASM merupakan organisasi berkanun di bawah kementerian itu dengan mempunyai lebih 800 pakar dalam pelbagai bidang berkaitan STEM menerusi pelbagai aktiviti strategik. -UTUSAN ONLINE