Kolaborasi bersama UTHM atasi masalah setempat di Batu Pahat - Utusan Malaysia

Kolaborasi bersama UTHM atasi masalah setempat di Batu Pahat

HASNI Mohammad (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar yang terdiri daripada golongan B40 sempena program Majlis Ramah Mesra Mahasiswa UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat. -UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Belanjawan Johor 2022 akan menyaksikan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi menangani beberapa permasalahan setempat di daerah ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya bercadang mendapatkan khidmat kepakaran yang terdapat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkenaan sekali gus menyediakan peruntukan bersesuaian.

“Kerajaan negeri melalui lawatan libat urus di beberapa daerah sebelum ini untuk mendapatkan reaksi dan cadangan bagi belanjawan negeri dan di Batu Pahat, kita dapati ada beberapa potensi yang boleh diketengahkan bagi perancangan di daerah ini.

“Justeru kita bersedia meningkatkan dan memperbanyak kerjasama dengan UTHM untuk khidmat kepakaran contohnya dalam menangani soal banjir termenung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Mahasiswa UTHM di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM Batu Pahat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang serta Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Wahid Razzaly.

Menurut Hasni, kerjasama itu sekaligus dapat meluaskan lagi bidang penyelidikan UTHM terhadap fenomena alam.

“Kita mahu daerah ini memanfaatkan kewujudan UTHM ekoran mereka mempunyai ramai pakar dan penyelidik. Ini memberikan kelebihan kepada kawasan di Batu Pahat.

“Saya berharap usaha ini dapat disegerakan kerana kita tidak mahu perkara ini mengambil masa panjang dengan melalui pelbagai proses. Seperti sebelum ini, peruntukan kebiasaannya diluluskan sekitar November atau Disember selepas Belanjawan negeri dibentangkan.

“Kemudian, perbincangan terperinci dimulakan sekitar Februari atau Mac. Apabila projek baru nak bermula, pembentangan Belanjawan untuk tahun berikutnya pula perlu diberi perhatian.

“Kalau boleh untuk kali ini kita tak mahu ia melalui proses yang lama. Jika dapat dipersetujui dengan cepat, ia lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Menurut Hasni, selain daripada soal banjir, kerjasama turut melibatkan kepakaran dalam bidang logistik, pengangkutan dan bidang aeronautik yang berpotensi membangunkan daerah itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya