KUALA SELANGOR: Tindakan tegas akan diambil Kerajaan Negeri Selangor terhadap sebuah kilang pembuat bahan roti kerana menyebabkan pelepasan minyak di Sungai Balak, Balakong, Ahad lalu.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, pihaknya sedang menyemak status kilang itu sama ada berlesen atau beroperasi tanpa kebenaran.
“Setakat ini, saya belum menerima laporan (mengenai status kilang), tetapi akan mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 50 alat penyerap minyak (Oil Pad dan
dua Oil Boom) diletakkan bagi menghalang pencemaran minyak marjerin di Sungai Balak yang mengalir keluar dari sebuah tangki dekat kilang pembuatan bahan roti di Kampung Baru Balakong, Cheras, Selangor.
Susulan pencemaran itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memaklumkan, kilang terbabit dikenakan kompaun dan digantung lesen operasinya oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sehingga mereka menyelesaikan kerja-kerja pembaikan.
Akibat pencemaran itu juga, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan sisa minyak tercemar kira-kira 16 kilometer (km) dari muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih Dua.
Mengulas lanjut, tindakan untuk menangani kilang yang mengakibatkan pencemaran sungai, Sze Han berkata, kerajaan negeri serius untuk melaksana perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan pencemaran.
Jelasnya, tindakan tegas akan diambil sama ada kilang yang didirikan di kawasan berhampiran sungai itu memiliki lesen atau beroperasi secara haram.
“Saya ingin menjelaskan bahawa pencemaran sungai tidak semestinya dilakukan kilang haram kerana kilang berlesen juga boleh mendatangkan pencemaran,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE