JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan pemilik kilang yang didapati punca berlakunya kejadian ‘banjir merah’ pada Khamis lalu supaya melakukan kerja pembersihan dan pelupusan dengan segera.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, JAS Negeri Johor telah mengeluarkan arahan lapangan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS).
“Pemilik kilang memaklumkan bahawa premis tersebut telah wujud sekitar tahun 1940-an dengan keluasan 21 ekar dan tidak lagi menjalankan sebarang aktiviti kerana telah menghentikan operasi pada tahun 2000.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama
yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian banjir kilat pada 30 September itu, seorang penduduk kampung berkenaan, Maya Ali memuat naik beberapa keping gambar di laman Facebook memaparkan pekarangan rumahnya dipenuhi air berwarna merah.
“Banjir Merah. Memang betul-betul kejadian, bukan mainan (main-main). Hujan lebat dari awal pagi tadi menyebabkan rumah kami dan penduduk sekampung mengalami banjir kilat.
“Tak tahu dari mana punca air merah ini. Mohon pihak berwajib dapat membuat siasatan,” tulisnya sehingga mendapat pelbagai reaksi daripadanya masyarakat.
Tambah Wan Abdul Latiff, tumpahan itu dipercayai disebabkan hujan lebat dan struktur kilang yang tidak berbumbung selain bekas penyimpanan pigmen warna terbabit yang sudah reput.
Katanya, air banjir mulai surut sekitar pukul 4.15 petang dan pemerhatian mendapati tiada lagi warna merah pada air banjir tersebut.
“Pihak kilang juga telah menjalankan kerja pembersihan dan pemindahan sisa-sisa tumpahan dan bangunan tersebut telah ditutup dengan kanvas pada hari sama,” katanya. -UTUSAN ONLINE