Kilang lepaskan sisa minyak makanan dikenakan notis - Utusan Malaysia

Kilang lepaskan sisa minyak makanan dikenakan notis

LIMA sampel efluen telah diambil dari Sungai Balak di Balakong, Selangor dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis selepas sebuah kilang dikenakan notis akibat melepaskan sisa minyak makanan dari tangki simpanannya ke dalam sungai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah kilang berasaskan makanan di Balakong, dekat sini dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) akibat melepaskan sisa minyak makanan dari tangki simpanan minyak marjerin yang bocor melalui longkang seterusnya ke Sungai Balak, petang semalam. 

 

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati pelepasan itu tidak sempat dibendung akibat injap kawalan gagal berfungsi.

 

Katanya, pihak premis juga didapati gagal melaporkan kerosakan itu kepada JAS dalam tempoh enam jam selain gagal mengambil langkah-langkah kawalan menghalang pelepasan sisa minyak ke persekitarannya.

 

“Langkah-langkah mitigasi telah dilaksanakan bagi mengelakkan air terus mengalir dengan kedudukan kilang itu adalah kira-kira 25 kilometer di hulu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih 2,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Nor Aziah, siasatan lanjut yang dijalankan pula mendapati ini adalah kali kedua kejadian seumpamanya berlaku dengan kali pertama pada November tahun lalu juga akibat kebocoran dengan kilang itu telah dikenakan tindakan mahkamah.

 

Ujarnya, kilang tersebut beroperasi dengan lesen sejak tahun 80-an.

 

“Operasi kilang itu diarahkan dihentikan sementara menerusi Notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

 

“Sebanyak lima sampel efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” jelasnya.

 

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya